Home Berita PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka Siri 7

830
SHARE

8 RAMADAN 1441 H
1 MEI 2020

TAJUK: MADRASAH RAMADAN

SUBHANALLAH..
ALHAMDULILLAH..
ALLAHU AKBAR..

Ramadan kini tiba lagi. Alhamdulillah kita masih di beri nikmat oleh Allah berpuasa pada kali ini. Kita juga masih lagi berada di fasa pertama Madrasah Ramadan.

Puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum tetapi sebagai sebuah kursus untuk mendidik kita menjadi hambaNya yang bertaqwa. Bagi mendapatkan kasih sayang dan pengampunan dari Allah, setiap amal ibadah kita perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Apabila mengenangkan kisah kisah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat yang sangat gembira menunggu ketibaan Ramadan, terdetik persoalan di manakah kita dalam berhadapan dengan Ramadan?

Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.”

Ini bermaksud puasa adalah alat untuk mendidik kita, dan matlamat puasa ini dapat dapat dicapai atau tidak adalah selepas bulan Ramadan. Adakah puasa ini dapat mengubah cara hidup kita? atau sebaliknya?

Antara perkara yang kita perlu lakukan selain dari menahan lapar dan dahaga ialah:-

1) Memperbanyakkan membaca Al Quran dan mentadabbur Al Quran

2) Berzikir dan menunaikan solat sunat

3) Qiamullail (menghidupkan malam dengan mendekatkan diri kepada Allah)

4) Bersedekah

Antara kelebihan Sedekah,

? Menghapuskan dosa. Rasulullah SAW bersabda : “Sedekah itu dapat menghapuskan dosa seperti air memadamkan api” (Hadis Riwayat at-Tarmidzi)

?Mengelakkan diri daripada api neraka. Sabda Nabi SAW: “Bersedekahlah kamu kerana sedekah itu sebagai penebusmu (pembebasanmu) daripada api neraka”. (Hadis riwayat At-Tabrani)

5) Menjaga lisan, pandangan dan pendengaran

6) Perbanyakkan doa

Jika dilihat semua perkara tersebut ia sangat mudah namun payah untuk istiqamah mengamalkannya. Ramadan madrasah tarbiyah yang penuh dengan ganjaran hebat dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sebagai umat Islam, kita wajib mensyukuri kurniaan ini dengan merebut segenap ruang dan peluang dalam bulan Ramadan untuk berbuat pahala.

Justeru itu, saya menyeru kepada kita semua untuk pertingkatkan amal ibadah di bulan yang penuh barakah ini agar kita tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa. Bermujahadahlah dalam melawan hawa nafsu yang sering menguji kita ini.

Selain itu, di musim PKP yang kini sudah masuk fasa ke-4, manfaatkanlah masa sebaiknya bersama keluarga dengan sahur dan iftar bersama, solat terawih berjamaah, tadarus dan tadabbur Al-Quran bersama. Jangan kita hanya beribadah secara fardi tanpa menghiraukan ahli keluarga namun lakukanlah bersama-sama. Dan moga segala amal perbuatan kita di nilai oleh Allah dan seterusnya mendapat ganjaran pahala.

Akhir kalam, musim PKP ini bukan alasan untuk mensia-siakan amal ibadah kita di bulan suci ini. Marilah bersama kita merebut peluang ini dengan sebaiknya. Saya akhiri dengan hadith Rasulullah s.a.w sebagai peringatan bersama,

“Seluruh amal perbuatan anak adam adalah untuknya sendiri kecuali puasa sesungguhnya ia untuk Ku dan akulah akan memberikan balasannya.” (Bukhari dan Muslim).

Siiru a’la barakatillah.

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS MELAKA
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS MELAKA
• Yang Dipertua PAS Masjid Tanah


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)