Home Berita PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka Siri 5

936
SHARE

SIRI: 5
6 RAMADAN 1441H
29 APRIL 2020

MEMAKNAKAN RAMADAN DENGAN IBADAH

Mengapakah kita perlu ‘memaknakan’ Ramadan dengan ibadah? Penting sangatkah kehadiran makna? Al-Mutamid Ibn Abbad, seorang penyair dan khalifah dari Andalusia (1040-1095M) pernah berkata: “Malamku menjadi terang karena kehadiran orang yang aku cintai”.

Kita mungkin pernah mendengar orang berkata: “Hidup ini sudah tidak bermakna” atau “ia amat bermakna untuk ku”. Ini menunjukkan bahawa kehadiran makna ibarat tenaga dalam yang membangkitkan ghairah seseorang untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Begitu juga dengan ibadah, tanpa memahami falsafah atau kehadiran makna, ibadah tersebut menjadi sesuatu yang rutin dan membosankan. Lebih parah jika ia terus diabaikan.

Bagaimanakah hendak memaknakan Ramadan dengan ibadah? Tiada cara lain melainkan kita mengetahui kelebihan beribadah pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman ra. Nabi SAW bersabda:

“Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung dan diberkati. Pada bulan ini ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan..”

Mengenai hal ini, Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qadar ( 1 – 5 ):

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ إِنَّآ أَنْزَلْنٰهُ فِى لَيْلَةِ الْقَدْرِ
سَلٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ تَنَزَّلُ الْمَلٰٓئِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِّنْ كُلِّ أَمْرٍ

Bermaksud : “[1] Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar (kemuliaan); [2] Dan tahukah kamu apakah malam qadar itu?; [3] Malam qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan; [4] Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan; [5] Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”

Mujahid ra. menegaskan bahawa pada zaman Bani Israel, ada seorang lelaki yang tekun melakukan ibadah di malam hari dan berjuang menegakkan agama Allah di siang hari selama 1,000 bulan. Oleh kerana itu, Allah menurunkan ketiga ayat ini sebagai keutamaan bagi umat Rasulullah SAW, agar mereka dapat beramal soleh seperti lelaki Bani Israel itu. (HR. Ibnu Jarir)

Jika dihitung, 1,000 bulan menyamai masa lebih kurang 84 tahun. Persoalannya, mampukah kita beribadah selama 84 tahun sedangkan usia umat Muhammad SAW relatifnya sekitar 60 – 70 tahun. Sangat jarang yang menjangkau usia 100 tahun, dan jika ada, mungkin tidak mampu lagi beribadat kerana faktor kesihatan; sakit lutut, sakit pinggang dan sebagainya. Sementelahan pula, bilakah kita mula menunaikan ibadah secara serius? ketika usia 10 tahun? 20 tahun? 30 tahun? Atau 40 tahun?

Justeru itu, marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana menjadi umat Muhammad SAW yang dikurniakan malam Lailatul Qadar yang mana nilai ibadahnya adalah melebihi 1,000 bulan atau 84 tahun beribadah. Bayangkan jika lima kali Ramadan kita dapat berjumpa dan beribadah pada malam tersebut, maka kita telah beribadah selama 420 tahun. Bahkan tidak mustahil jika bersungguh sungguh dan dengan izin Allah SWT, kita dapat beribadah di malam Lailatul Qadar selama 10 tahun, maknanya kita telah beribadah selama 840 tahun.

Maka, inilah sebabnya para salafus soleh (orang-orang alim yang terdahulu) enam bulan sebelum Ramadan sentiasa berdoa – ‘Allahumma ballighna Ramadan – Ya Allah sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadan’; menggambarkan perasaan mereka yang rindu dan ternanti-nanti tibanya bulan Ramadan.

Kelebihan bulan Ramadan yang berikutnya ialah satu bulan yang Allah SWT telah menjadikan puasa (pada siang harinya) sebagai satu kefardhuan dan berdiri pada malamnya (solat terawih) sebagai satu amalan sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Ertinya: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan rela hati, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Manakala, dalam hadis yang lain tetapi mempunyai lafaz yang hampir serupa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menunaikan solat malam di bulan Ramadan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Pendek kata, bulan Ramadan bukan sahaja bulan penyucian jiwa semata-mata tetapi juga bulan penyucian dosa. Diri kita ibarat kain putih yang telah tercemar dengan pelbagai kotoran dan kembali putih bersih setelah dibasuh dengan serbuk cucian ‘Ramadan’. Sebab itulah, para salafus soleh apabila tirai Ramadan hampir ditutup mereka rasa sangat sedih dan hiba kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam terhadap kelebihan beribadah di bulan tersebut.

Jika enam bulan sebelum Ramadan mereka berdoa: ‘Allahumma ballighna Ramadan’; maka enam bulan selepas Ramadan mereka berdoa: ‘Allahumma rabbana taqabbal minna shalatana wa shiyamana wa ruku’ana wa sujudana wa qu’udana wa tadharru’ana wa ta’abbudana wa tammin tashirana ya Allah ya rabbal alamin’ – “Ya Allah, terimalah solat kami, puasa kami, ruku’ kami, sujud kami, duduk kami, kerendahan diri kami, kekhusyukan kami, pengabdian kami, dan sempurnakanlah apa yang kami lakukan selama kami menunaikan solat ya Allah, Tuhan seru sekelian alam.”

Lanjutan daripada hadis di atas, “… sesiapa yang menghampiri Allah SWT pada bulan ini melalui mana-mana amalan sunat maka (pahalanya) adalah seperti dia melakukan amalan fardhu pada bulan-bulan lain. Dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu pada bulan ini adalah seperti menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain…”

Jika satu solat fardhu di bulan Ramadan bersamaan 70 fardhu, maka lima solat fardhu sehari semalam di bulan Ramadan adalah bersamaan 350 fardhu. Ini belum termasuk solat-solat sunat seperti sunat fajar, sunat dhuha, sunat rawatib dan lain-lain. Bayangkanlah betapa besarnya nikmat Allah SWT terhadap hamba-Nya yang beribadat di bulan Ramadan yang mulia ini. Subhanallah!

Bagaimanakah hendak kita gambarkan besarnya ganjaran pahala Allah SWT? Dalam satu kisah, Abdul Rahman pernah terlewat mendirikan solat berjamaah bersama Rasulullah SAW di Masjid Nabi. Beliau tidak sempat mengangkat takbiratul ihram bersama-sama dengan jemaah yang lain. Sedangkan pahala seseorang yang solatnya seiring dengan takbir imam adalah berbeza dengan orang yang lambat, dan ia diistilahkan sebagai ‘muwafiq’ dan ‘masbuq.’ Abdul Rahman tidak mendapat taraf ‘muwafiq’ itu kerana sebelum itu dia sibuk mengalu-alukan kepulangan kabilah rombongan dagangnya yang baru tiba dari luar Madinah. Apabila dia kembali ke belakang Nabi Muhammad SAW, dia sudah tertinggal dan terpaksa ‘masbuq’. Sesudah solat, Rasulullah SAW menegur Abdul Rahman di atas sikap beliau yang lebih mengutamakan urusan perniagaannya berbanding solat yang sudah hampir didirikan.

Abdul Rahman amat terasa dengan teguran daripada Rasullullah itu dan belia amat menyesal dengan kesilapannya. Lalu, Abdul Rahman telah menawarkan kepada Rasulullah SAW, untuk menginfakkan kesemua harta dagangannya demi menebus pahala solat yang telah luput itu.Namun Rasulullah menggelengkan kepalanya, bererti pahala itu tidak sama nilainya dengan keseluruhan harta dagangannya. Abdul Rahman bertambah kesal, lalu Abdul Rahman menawarkan untuk memberikan seluruh harta dagang itu bersama unta-unta pembawanya; namun nabi masih menyatakan ia tidak sama. Akhirnya, Abdul Rahman bertekad untuk menginfakkan segala-galanya yang ada di dalam rombongan dagang itu, termasuklah para hamba dan pekerjanya kepada Islam; namun Nabi Muhammad SAW masih menyatakan,
pahalanya masih tidak sama dengan pahala solat itu.

Demikianlah beberapa contoh memaknakan Ramadan dengan ibadah. Daripada topik perbincangan ini, mesej yang ingin disampaikan ialah:

(1) Ibadah tanpa kehadiran ‘makna’ ibarat jasad tanpa jiwa; kosong dan membosankan. Atau umpama ‘handphone tiada line’; nampak cantik tapi tiada ‘connection’. Ibadah yang sepatutnya menjadi alat yang dapat menghubungkan jiwa hamba dengan penciptanya hanya sekadar ritual biasa yang tidak dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan seseorang.

(2) Kehadiran makna hanya wujud apabila kita memahami dan menghayati fadhilat atau kelebihan bulan Ramadan sebagaimana yang disebutkan di dalam Al Quran dan al-Hadis.

(3) Memaknakan Ramadan dengan ibadah akan dapat meningkatkan motivasi dan keinginan beribadah.

(4) Seseorang akan dapat merasai kemanisan iman hanya setelah melalui proses tazkiyah al-nafsi dengan meningkatkan amal ibadah khususnya pada bulan Ramadan yang penuh keberkahan ini.

Oleh itu saya menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan semua agar dapat menggunakan peluang yang Allah SWT anugerahkan ini iaitu bulan Ramadan yang penuh keberkahan ini dengan mengoptimumkan ibadah sama ada ibadah khusus mahupun ibadah umum; sama ada dari segi kuantiti mahu pun kualiti dengan penuh keimanan dan ketulusan hati kerana belum tentu lagi kita berpeluang pada Ramadan yang akan datang. Moga-moga amalan kita beroleh ganjaran pahala daripada Allah SWT.

DR. AZMAN YUSOF
AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka
Setiausaha Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Negeri Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)