Home Artikel PAS Perlis

Mangsa Ribut Dapat Perhatian ADUN PAS

603
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Ribut yang melanda beberapa kawasan di negeri ini Isnin lepas mengakibatkan sebanyak 39 buah rumah telah mengalami kerosakan.

Antara kawasan yang terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu ialah Tambung Tulang, Guar Sanji dan Sanglang.

Meskipun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kejadian ribut berkenaan telah menyebabkan ramai penduduk terpaksa menanggung kerugian apabila kediaman mereka mengalami kerosakan.

Prihatin dengan nasib yang menimpa mereka, ADUN Sanglang dan ADUN Guar Sanji adalah antara pihak yang terawal turun padang melawat mangsa.

ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli telah meninjau sendiri kerosakan yang berlaku di beberapa buah kediaman yang terjejas teruk di sekitar Sanglang.

Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada para mangsa bagi meringankan beban yang ditanggungi mereka.

Sementara itu ribut yang sama turut merosakkan sebanyak 21 buah rumah di dua buah kampung yang terletak dalam DUN Guar Sanji iaitu di Kampung Mua dan Kampung Tebuk.

Menurut ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, beliau bersama-sama para petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyat Guar Sanji telah turun padang bagi melawat mangsa ribut berkenaan.

“Bantuan awal berupa makanan dan wang ringgit telah kami serahkan kepada para mangsa bagi meringankan beban penduduk, sementara menanti bantuan daripada agensi kerajaan yang terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.