Home Berita PAS Melaka

Rencana : Sejarah Sambutan Ulangtahun Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah

2091
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

15 April lepas rakyat Melaka telah menyambut ulangtahun sambutan pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah. Namun ada yang tertanya-tanya pada tahun bilakah sebenarnya berlaku pengisytiharan tersebut?

Ada yang keliru. Kata mereka jika kita melihat kepada media sosial yang dimiliki oleh agensi kerajaan Negeri Melaka kebanyakannya menyatakan bahawa sambutan ‘Ulangtahun Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah’ pada tahun ini adalah sambutan kali ke 17.

Sebenarnya Pengisytiharan Melaka Sebagai Bandaraya Bersejarah berlaku pada 15 April 1989. Pengisytiharan ini adalah susulan daripada keputusan ‘Konvensyen Pengiystiharan Melaka Sebagai Bandaraya Bersejarah’ yang berlaku pada 15 April 1987. Resolusi dari konvensyen itu telah bersetuju untuk menjadikan tarikh 15 April 1989 sebagai tarikh pengiystiharannya.

Pengisytiharan ini dilakukan oleh Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 15 April 1989. Bank Negara Malaysia pada ketika itu juga ada mengeluarkan syiling perak bernilai RM10 sempena pengisytiharan ini. Syiling yang tertera jata negeri Melaka dan kereta lembu itu dicetak sebanyak 20 ribu keping.

Sebenarnya status ‘bandaraya’ yang diberi kepada Melaka pada ketika itu bukanlah bermaksud status bandaraya yang diberi kepada kerajaan tempatan. Ia hanyalah simbolik dan nama ‘bandaraya bersejarah’ itu adalah untuk keseluruhan Negeri Melaka.

Semenjak dari itu nama Melaka dikenali dengan nama ‘Melaka Bandaraya Bersejarah’. Ini adalah seperti negeri lain yang kebanyakannya mempunyai gelaran ‘darul’. Dan semenjak dari itu juga rakyat Melaka akan menyambut ‘Ulangtahun Sambutan Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah’ pada setiap 15 April dan hari itu juga adalah cuti umum kepada seluruh negeri Melaka.

Selain perubahan nama Melaka menjadi Melaka Bandaraya Bersejarah, nama Majlis Perbandaran Melaka (MPM) juga berubah kepada Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB). Namun ia tidak merubah status kerajaan tempatan yang mentadbir Melaka Tengah ini kepada status ‘bandaraya’. Kerana itu ia tetap dipanggil ‘majlis perbandaran’ bukan ‘majlis bandaraya’. Dan ‘Melaka Bandaraya Bersejarah’ itu sekadar mengambil sempena gelaran baru yang diterima oleh Negeri Melaka ketika itu.

Majlis Perbandaran Melaka ini sebenarnya sudah wujud sejak tahun 1824 semasa zaman pemerintahan British lagi. Pada masa itu ia dipanggil sebagai The Municipallity Of The Town And Fort Of Malacca’. Dan selepas negara kita merdeka ia dipanggil ‘Majlis Perbandaran Melaka’.

Namun pada tahun 2003, MPMBB benar-benar layak untuk memegang status ‘majlis bandaraya’ seperti yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan. Lalu tarikh yang sama iaitu 15 April 2003 telah diambil sebagai tarikh rasmi pertukaran status MPMBB kepada bandaraya. Dan nama pun berubah dari MPMBB kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Kerana itu jika pada tahun ini anda melihat mana-mana ucapan yang berbunyi ‘Selamat menyambut ulangtahun pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah kali ke 17’ sebenarnya ia merujuk kepada sambutan perubahan MPMBB yang dinaikkan statusnya kepada bandaraya pada tahun 2003.

Sekiranya ucapan itu adalah untuk pengiystiharan Melaka sebagai ‘Bandaraya Bersejarah’ untuk seluruh negeri Melaka ia sepatutnya disebut sebagai ulangtahun kali ke 31 pada tahun 2020 ini.

Penulis adalah Editor Berita PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah