30 MAC ; SELAMAT HARI DOKTOR !
Dewan Muslimat PAS Negeri Perak (DMPN) mengucapkan selamat menyambut Hari Doktor buat seluruh doktor di Malaysia sama ada yang bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.
Jasa dan pengorbanan para doktor sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Dalam keadaan negara kita diuji dengan wabak COVID-19 ini, khidmat dan komitmen para doktor amat penting sebagai ‘frontliners’.
Statistik jumlah pesakit yang meningkat hari ke hari menjadikan tugasan kalian kian mencabar. Namun berbekalkan semangat kental, tugasan dan amanah tersebut digalas sebaiknya bahkan kalian sanggup melakukan pelbagai pengorbanan termasuk kepentingan diri sendiri.
Wahai para doktor,
Pengorbananmu sungguh tinggi sehingga ada yang perlu berjauhan dengan keluarga, waktu rehatmu kadang kala terpaksa dikorbankan untuk urusan kecemasan di hospital, makan dan minummu juga kadang kala tertangguh kerana kepadatan tugasan.
Dewan Muslimat PAS Negeri Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh doktor. Begitu besar jasa dan pengorbanan kalian. Kami mendoakan agar seluruh doktor beroleh kesejahteraan dan ketabahan mengiringi segala penat lelah kalian.
Semoga segala kerja kuat kalian, serta pengorbanan yang tidak terhingga ini dinilai oleh Allah SWT sebagai amal soleh dan menjadi saksi kalian di akhirat kelak. Thank you for your commitment and sacrifice. Stay Strong frontliners!
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”
DR Najihatussalehah Binti Ahmad
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS PERAK