Oleh : IBNU JANIE
MASJID TANAH : Ahli Parlimen Masjid Tanah YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Haji Samsudin pagi ini telah menyerahkan bantuan makanan untuk diedarkan oleh pihak PAS Kawasan Masjid Tanah kepada rakyat yang memerlukan di sekitar parlimen ini. Program yang berlangsung secara ringkas di hadapan pejabat Ahli Parlimen Masjid Tanah ini dihadiri oleh wakil-wakil dari semua Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS di dalam kawasan Masjid Tanah.
YB Mas Ermieyati dalam ucapan ringkasnya semasa majlis penyerahan itu berkata bantuan yang diberikan ini (kerjasama dengan PAS Kawasan) bukanlah yang pertama dan terakhir. Ini adalah kerana isu Covid-19 ini mungkin berpanjangan. Pihak Pejabat Parlimen Masjid Tanah akan terus bekerjasama lagi dengan PAS kawasan Masjid Tanah pada masa akan datang dalam memberi bantuan kepada rakyat.
“Yang penting kita dapat membantu rakyat kita di bawah. Jika ada rakyat yang perlukan bantuan bagitahu, agar kita dapat menangani masalah ini bersama.” Ujar YB Mas Ermieyati.
Sementara itu Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman dalam ucapan balasnya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian beliau bekerjasama dan memberi kepercayaan kepada PAS Kawasan Masjid Tanah dalam mengedarkan bantuan kepada rakyat.
Sambil menyifatkan apa yang berlaku sekarang ini seolah-olah lebih sukar dari zaman perang, beliau juga berharap semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan semoga Allah swt mengangkat wabak ini dari terus menjangkiti rakyat Malaysia.
Di akhir program ini, atas permintaan YB Mas Ermieyati, Ustaz Imran yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka telah membacakan doa selamat semoga dijauhkan dari bencana wabak ini sambil diaminkan oleh semua petugas yang hadir.
YB Mas Ermieyati yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi walau bagaimana pun meminta izin untuk meninggalkan program lebih awal kerana beliau perlu bergegas ke Putrajaya untuk menghadiri satu mesyuarat berkaitan Covid-19.
Sebanyak 200 set bungkusan bantuan yang terdiri dari makanan mentah seperti beras, gula, tepung dan minyak masak diperuntukkan kepada PAS kawasan Masjid Tanah untuk diedarkan kepada orang ramai yang memerlukan. Setiap MTD masing-masing akan mengedarkan 40 set bungkusan kepada rakyat di kawasan mereka.
Turut hadir di dalam program ialah Adun Kuala Linggi YB AR. Hj Ismail B. Hj Othman, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Cikgu Arshad Md Som dan semua pengerusi-pengerusi MTD PAS dalam kawasan Masjid Tanah.