Home Berita PAS Melaka

Arahan Penutupan Premis Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Kerana Covid-19 Negeri Melaka

4416
SHARE

Oleh : IBNU JANIE

Kerajaan Negeri Melaka telah mengeluarkan satu arahan penutupan premis dalam tempoh ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ (PKP) kerana wabak Covid-19. Surat tersebut dilampirkan dalam satu hantaran facebook rasmi ‘Kerajaan Negeri Melaka’ sebentar tadi.

Surat kepada semua Yang Dipertua (YDP) kerajaan-kerajaan tempatan di dalam Negeri Melaka bertarikh 21 Mac 2020 itu ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK Pembangunan), Datuk Salhah Binti Salleh, bagi pihak Setiusaha Kerajaan Negeri.

Surat itu menyatakan pihak berkuasa tempatan hendaklah :

i) Memastikan semua premis-premis kedai makan ditutup bermula jam 7 petang hingga 7 pagi termasuk khidmat pandu lalu (drive through)

ii) Memastikan semua kedai serbaneka di stesen-stesen minyak ditutup bermula jam 8 malam hingga 6 pagi. Hanya perkhidmatan isian minyak sahaja dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan permit sedia ada.

iii) Memastikan semua kedai runcit serta kedai serbaneka 24 jam termasuk 7-Eleven atau KK Supermart yang menjual barangan keperluan harian ditutup bermula jam 7 petang hingga jam 7 pagi.

iv) Memastikan semua pasar awam ditutup bermula jam 2 petang hingga 6 pagi serta mematuhi garis panduan keselamatan dan kesihatan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi bilangan pengunjung dan jarak operasi.

v) Memastikan semua pasaraya ditutup bermula jam 7 petang.

vi) Memastikan semua pasar malam, pasar pagi dan pasar tani tidak beroperasi.

vii) Memastikan semua gerai penjaja di bahu jalan termasuk Food Truck yang yang diberi lesen perniagaan ditutup bermula jam 6 petang hingga 7 pagi serta mematuhi garis panduan keselamatan dan kesihatan seperti saranan KKM dari segi bilangan pengunjung dan jarak operasi.

Mengikut surat yang ditularkan itu, semua arahan ini berkuatkuasa dari tarikh 21 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 atau sehingga tempoh ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ ditarik balik.

Kredit sumber : Facebook rasmi ‘Kerajaan Negeri Melaka’