Home Berita PAS Kelantan

Rakyat Kelantan berhimpun Bangkit Pertahan

1805
SHARE

KOTA BHARU: Anak Kelantan yang berada di perantauan dapat merasai perbezaan yang lebih jelas suasana kehidupan beragama di Kelantan berbanding di tempat mereka bekerja.

Di Kelantan tidak ditemui premis perjudian dan kedai 24 jam yang menjual arak secara terbuka sejak Oktober 1990 sehingga sekarang.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, mengambil kira suasana kehidupan yang berbeza di Serambi Makkah berbanding tempat-tempat lain menyebabkan rakyat bangkit mempertahankan Kerajaan Kelantan.

Oleh itu katanya, Himpunan Bangkit Pertahan akan diadakan di Padang Perdana Kota Bharu pada 16 Mac hadapan bagi membangkitkan kesedaran bersama bagi memastikan kepimpinan ulama terus kekal sebagai tonggak kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.“Program tersebut bagi menggerakkan program merakyatkan kejayaan pembangunan negeri yang bermula di peringkat akar umbi, Dun, Parlimen sehingga ke negeri.

“Memperkasakan rasa kebersamaan semua organ politik kerajaan negeri ke arah membangkitkan usaha menangkis sebarang serangan dan tohmahan negetif terhadap kepimpinan ulama yang menerajui kerajaan negeri sekarang,” katanya pada sidang media di sini petang ini yang turut dihadiri sama Pengarah Himpunan, Dr Izani Hussin.

Program Bangkit Pertahan akan bermula jam 8.30 pagi dengan persembahan nasyid, kemudian diikuti kuliah Ustaz Azhar Idrus di Padang Perdana jam 9 pagi. Pada jam 3 petang diadakan Himpunan Anak Muda Pertahan Kelantan di Padang Perdana dan Himpunan Muslimat di Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Pada sebelah malam pula dimulakan solat Maghrib dan kuliah Maghrib, solat Isyak, munajat dan solat hajat.

Selepas itu ucapan wakil-wakil masyarakat serta pemimpin Gagasan Sejahtera yang mewakili Berjasa, Ikatan, wakil kerajaan negeri dan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. –HARAKAHDAILY 19/2/2018