oleh Norzana Razaly
Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan ulama dan teknokrat sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat apatah lagi golongan penerima kebajikan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), armalah, anak yatim, orang miskin dan lain-lain berteraskan falsafah persamaan taraf dan hak kepenggunaan.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) berinisiatif dan pro-aktif mengingatkan rakyat di negeri supaya sentiasa memberi ruang dan peluang sewajarnya kepada golongan istimewa tersebut bagi memperkasakan potensi diri mereka ke tahap paling optimum demi membina masyarakat progresif, inklusif dan penyayang.
Seiring tema, ‘Negeri Berkebajikan, Membangun Bersama Islam’ Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan sasar ini dalam pelbagai aspek pembangunan negeri, penghargaan dan pengiktirafan melalui Sambutan Hari OKU Peringkat Negeri setiap tahun.
Keraian dan penghargaan turut diberikan kepada penyumbang yang saling berganding bahu menjayakan hal-ehwal kebajikan kerana Kerajaan Negeri memahami konsep tangan yang di atas lebih mulia daripada yang di bawah.
Klimaks pengiktirafan demi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kumpulan sasar tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan melalui U-KeKWa menganjurkan sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020 (HKN 2020) pada 22 – 26 Rejab 1441H bersamaan17 – 21 Mac 2020 (Selasa – Sabtu) bermula pukul 8:00 pagi hingga 5:00 petang di Dewan Besar, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang dan di Pasaraya Giant, Tunjung, Kota Bharu, Kelantan.
Buat julung kalinya, agenda berprestij ini menampilkan kelainan melalui acara Himpunan Pendakwah Tanpa Suara yang bakal dserikan dengan segmen Dhuha bersama Anak Syurga, Persembahan Nasyid tunadan Seminar Pendakwah Tanpa Suara.
Di samping itu, Konvensyen Hari Kebajikan bertaraf antarabangsa berserta Pelancaran Buku Inisiatif Kebajikan Negeri Kelantan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Kebajikan Negeri turut diadakan.
Selain mengikuti Seminar Keibubapaan Penjaga Anak Sindrom Down, pengunjung HKN 2020 bakal berpeluang menyaksikan pameran produk dan gerai jualan dari agensi kerajaan dan badan NGO berorientasikan produk Kelantan hasil kreativiti wanita, armalah dan OKU, jualan amal, pemeriksaan kesihatan dan Tabung Infaq Beras setiap hari menerusi acara Karnival Kebajikan Kelantan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk HKN 2020 merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Hjh. Mumtaz Md. Nawi, HKNK 2020 bertujuan meraikan dan meneruskan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan golongan sasar dalam pembangunan negeri serta memberi peluang kepada mereka untuk beramah mesra dan berkongsi pengalaman dan idea.
“Kerajaan Negeri berhasrat memberi pendedahan tentang cabaran semasa, polisi dan isu – isu kebajikan samada di peringkat nasional ataupun antarabangsa serta merangka pelan tindakan strategik ke arah menghasilkan amalan terbaik negeri berkebajikan di tempat masing-masing”, ujarnya selepas selesai berjemaah Solat Hajat Hari Kebajikan Negeri Kelantan (HKN) di Surau Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim pada 13 Januari 2020.
Menurutnya lagi, program ini juga bermaksud untuk memperkenalkan Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat dan Gagasan OKU Muqarrabun serta menjadikan program ini sebagai platform untuk meneruskan promosi tentang pencapaian komponen kebajikan Kelantan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa sempena sambutan 30 tahun di bawah pentadbiran Dasar Membangun Bersama Islam.
Orang ramai juga dialu-alukan menyertai tabung infak beras kepada asnaf mulai sekarang.- UPKN KELANTAN 14/2/2020
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2600961836804834