Home Berita PAS Melaka

Bicara Intelek Dr Azman Yusof : PPSMI – Kerajaan Harus Ambil Kira Pandangan Pakar

974
SHARE

 

Oleh : Dr Azman Yusof

Suatu hari, seorang perempuan telah datang mengadu kepada Umar R.A tentang suaminya. Pada masa itu Ka’b berada di sisi Umar. Perempuan tersebut berkata: “Wahai Amirul Mukminin, aku tidak pernah melihat lelaki yang lebih baik daripada suamiku. Dia berjaga sepanjang malam (kerana beribadat), berpuasa sepanjang siang, walaupun tatkala cuaca terlalu panas dia tidak berbuka…” Lalu, Khalifah Umar mememohon keampunan bagi perempuan tersebut yang menurutnya sangat beruntung kerana memiliki suami yang baik.

Apabila mendengar kata-kata itu, perempuan tersebut terdiam dan berasa malu hendak meneruskan aduannya itu. Menyedari keadaan itu, Ka’b pun berkata: ”Sesungguhnya perempuan tersebut telah membuat pengaduan tentang suaminya kepada tuan!”.

“Benarkah demikian?” Tanya Umar.

“Benar” jawab Ka’b.

Lalu Khalifah Umar memanggil semula perempuan tersebut seraya berkata: “Katakan dengan sebenarnya, sesungguhnya dia (Ka’b) mengatakan tujuan kamu adalah untuk membuat pengaduan tentang suamimu kerana dia tidak tidur bersamamu?” Tanya Khalifah Umar Umar.

Perempuan itu menjawab: “Benar, sesungguhnya aku seorang perempuan muda, aku juga mempunyai keinginan seperti perempuan muda yang lain.”

Setelah suami perempuan itu hadir, Khalifah Umar memerintahkan Ka’b menghakimkan kes tersebut kerana beliau berjaya memahami apa yang tersirat di sebalik kata-kata perempuan itu.

Ka’b cuba menolak dengan katanya, “Sesungguhnya Amirul Mukminin lebih berhak untuk menghakimkan mereka”.

Sebaliknya, Khalifah Umar dengan tegas mengatakan: “Aku telah memutuskan bahawa engkaulah menghakimkan mereka”.

Dengan perintah Khalifah Umar, Ka’b pun memutuskan kes itu dengan membuat analogi: ”Aku berpendapat seolah-olah lelaki ini mempunyai empat orang isteri dan puan isteri yang keempat. Oleh yang demikian, untuk tiga hari siang dan malam bolehlah dia beribadat, dan yang satu hari lagi ialah giliran puan.”

Khalifah Umar pun berkata: “Sesungguhnya pendapatmu dari mula hingga akhir menarik, dengan itu pergilah engkau ke Basrah untuk menjadi kadi di sana.”

Pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa di atas ialah pemimpin hendaklah seorang yang berjiwa besar; bersedia menerima teguran, dan sanggup menimbang pandangan orang lain dalam mencari solusi terbaik terhadap sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi jika teguran atau pandangan itu datangnya daripada golongan yang berpengetahuan dalam bidang tersebut.

Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: “… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.”

Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berhasrat memperkenalkan semula bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) semasa pertemuannya dengan kepimpinan tertinggi kementerian pada 30 Januari 2020 yang lalu.

Saranan ini tidaklah memeranjatkan malah telah diduga kerana beliaulah pelopor dalam memperjuangkan dasar ini dari dahulu lagi. Kritikan hebat daripada tokoh-tokoh bahasa dan pendidikan tidak dipedulikannya. Untuk rekod, dasar ini pernah diperkenalkan di antara 2003 hingga 2012 sebelum dimansuhkan dan digantikan dengan dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)’ secara berperingkat mulai 2010.

Dasar ini dimansuhkan setelah dapatan daripada kajian menunjukkan bahawa ia lebih banyak memberi impak negatif berbanding positif. Umpamanya melalui penarafan ujian antarabangsa iaitu Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) didapati prestasi pelajar menjunam hampir 100 mata di bawah purata dunia pada 2007 dan 2011, selain pencapaian Malaysia turut merosot bagi program penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

Di samping itu, kajian yang dibuat oleh DBP, UKM, PEMBINA, UPSI dan lain-lain terhadap dasar ini juga menunjukan ‘trend’ menurun yang sama. Sebaliknya, Laporan TIMSS pada tahun 2015 iaitu selepas PPSMI dimansuhkan menunjukkan prestasi meningkat berbanding sebelumnya.

Menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hassan sebagaimana yang dilaporkan dalam sebuah akhbar harian mengatakan bahawa pelaksanaan PPSMI pada tahun 2003-2012 telah merosakkan masa depan hampir 3 juta murid, terutama anak Melayu luar bandar hingga usaha meramaikan nisbah penguasaan bidang sains dan matematik 60:40 tidak kesampaian. Fakta ini turut disokong oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila mengatakan bahawa dasar ini telah menyebabkan 80 peratus kemerosotan pembelajaran di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.

Justeru, bagi kalangan rakyat mereka tertanya-tanya apakah rasionalnya memperkenalkan semula dasar PPSMI setelah terbukti gagal dan hanya membazirkan wang ringgit, masa dan tenaga. Sebagai umat Islam, kita diajar supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan. Sebagaimana sabda Nabi Saw yang bermaksud: “Seorang mukmin itu tidak akan terperosok ke dalam lubang yang sama dua kali.”

Kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang mengatakan dasar PPSMI ini penting bagi melahirkan ramai saintis dan jurutera ternyata sangat dangkal dan mengelirukan. Seolah-olah menggambarkan bahawa sistem pendidikan Negara sebelum ini gagal melahirkan ramai saintis dan jurutera.

Sedangkan menurut Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi), Prof Dato’ Ir Dr Wan Ramli, mata pelajaran Sains dan Matematik telah diajar dalam Bahasa Melayu sejak tahun 70an tanpa sebarang masalah. Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan ketara graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan. Malahan, pihak kerajaan dan industri pula yang menghadapi masalah menyediakan peluang pekerjaan mencukupi kepada graduan kedua-dua bidang ini.

Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang rasional akalnya menafikan tentang kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dewasa ini. Lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0. Penguasaan bahasa Inggeris memberikan kelebihan yang signifikan dalam segenap sudut.

“Namun perkara ini harus dilakukan dengan meneroka pedagogi pendidikan yang lebih menarik dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, bukannya menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik,” tegas Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Prof Datuk Dr Awang Sariyan, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia.

Lihatlah kepada negara-negara seperti Jepun, Russia, China, Korea, Iran, German, Perancis dan lain-lain yang sangat maju dari segi pencapaian sains dan teknologi tanpa mengorbankan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Sepatutnya, kerajaan menyediakan geran galakan penyelidikan kepada para pensyarah di Institut Pengajian Tinggi untuk mengkaji rahsia kejayaan negara-negara tersebut. Elakkan budaya memberi pandangan berdasarkan pengalaman dan persepsi individu semata-mata lalu diangkat menjadi dasar negara. Sebaliknya, sesuatu dasar hendaklah digubal berasaskan kepada dapatan daripada kajian ilmiah.

Walau bagaimanapun, kenyataan media oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 6 Februari 2020 menggambarkan bahawa dasar PPSMI 2.0 akan dilaksanakan dalam tempoh sedikit masa lagi. Tetapi kajian pelaksanaan akan dibuat terlebih dahulu sebelum dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri.

Kajian ini diharap akan melibatkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan bahasa. Namun, pelaksanaan dasar ini nanti sama ada dengan pendekatan yang sama atau berbeza tetap akan memberi isyarat jelas kepada rakyat jelata tentang ketidakyakinan kerajaan terhadap Bahasa Melayu sebagai wahana menyampaikan ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Pada waktu itu, adakah perarakan “Keranda 152” bakal berulang?.

Penulis ialah AJK DUPNM dan Setiausaha LTTP Negeri Melaka