Home Timbalan Presiden PAS

Semak Semula Lanjutan Konsesi Tol 20 Tahun

1222
SHARE

KENYATAAN MEDIA
SEMAK SEMULA LANJUTAN KONSESI TOL 20 TAHUN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) minta pihak Kerajaan Persekutuan menyemak semula tempoh lanjutan 20 tahun konsesi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sehingga tahun 2058. Meskipun pengurangan kadar tol 18 peratus tanpa bayaran pampasan akan dilakukan bermula 1 Februari ini, namun lanjutan 20 tahun sangat tidak muhasabah. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa Pakatan Harapan gagal menghapuskan tol secara berperingkat sebaliknya mengambil tindakan populis melanjutkan tempoh konsesi.

PLUS adalah aset strategik Khazanah Nasional dan ia harus memikirkan mekanisme terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat. PAS percaya tindakan Pengarah Urusan Khazanah Nasional mempertahan PLUS daripada dijual kepada sektor swasta yang lain sebenarnya mempunyai tawaran yang lebih baik. Sekiranya dihitung secara logik, rakyat akan terus terbeban dengan kaedah lanjutan tambahan konsesi 20 tahun dan ia tidak selari dengan hasrat awal pengambil alihan PLUS pada tahun 2011 dahulu.

Kerajaan Persekutuan mengambil alih PLUS daripada pihak swasta menerusi UEM dan KWSP pada tahun 2011 adalah untuk menstruktur semula perjanjian konsesi berat sebelah yang telah dimeterai sejak tahun 1990-an. Sekurang-kurangnya kadar tol PLUS tidak dinaikkan sepanjang 10 tahun lalu dan pampasan kerajaan RM6.5 bilion tidak perlu dibayar lagi. Justeru, lebih baik Khazanah Nasional dan KWSP komited ke arah hasrat awal pengambil alihan tol dan tidak melanjutkan konsesi selama 20 tahun lagi.

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

24 Jamadil Awwal 1441 | 20 Januari 2020