Home Khas

Keceluparan G25 Bukti Kesilapan Dan Kegagalan Kerajaan

1190
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Keceluparan G25 Bukti Kesilapan Dan Kegagalan Kerajaan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, perlu dipersalah dan memikul tanggungjawab atas keceluparan terbaru G25 mempersoalkan keperlembagaan insitusi Islam seperti JAKIM dan mendesak hak murtad diberikan.

Isu-isu begini sudah lama dilaungkan oleh G25 sejak mereka menulis surat terbuka kepada rakyat Malaysia pada 7 Disember 2014.

Tindakan G25 mempersoalkan kesahihan kedudukan institusi Islam dan undang-undang Islam di sisi perlembagaan mereka suarakan secara rasmi dalam buku mereka bertajuk “Breaking the Silence”.

Begitupun, KDN menyedari bahaya buku G25 ini dan mengambil langkah mewartakan pengharamannya pada 27 Julai 2017 atas alasan “kedudukan Islam dalam perlembagaan yang disentuh dilihat memudaratkan ketenteraman awam”.

Tindakan KDN waktu itu dibantah keras oleh pemimpin PH, khususnya DAP, melalui pemimpin tertinggi mereka seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Dr P Ramasamy.

Kemudiannya, selepas PH memerintah, secara tiba-tiba Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menandatangani pembatalan arahan pengharaman buku ini pada 21 November 2019 dan ia diwartakan pada 10 Disember 2019, atas alasan kebebasan bersuara.

Lihatlah sekarang, baru sebulan pembatalan arahan pengharaman buku ini dibuat, terus sahaja G25 melaungkan kembali agenda jahatnya mempersoalkan keperlembagaan institusi Islam dan undang-undang Islamnya dengan lebih lantang lagi.

Apakah G25 ini akan berani bersuara lantang begini jika bukan kerana kebaculan KDN tunduk kepada desakan supaya arahan pembatalan bukunya ditarik balik sedangkan arahan pembatalan ini tepat mengikut undang-undang.

Apakah yang boleh kerajaan lakukan bila semua yang G25 suarakan ini, termasuk hak untuk murtad, ada dalam buku mereka dan buku ini pula telah kerajaan sendiri halalkan sebulan lalu?

Di mana suara Menteri Agama dan Menteri-Menteri Islam lain yang bersungguh mempertahankan pengibaran tanglung di sekolah dari ancaman tatkala kedudukan Islam dalam negara sedang diancam secara serius?

Sesungguhnya semua ini adalah bukti nyata kerajaan tidak mampu menjaga kedudukan institusi Islam dan undang-undang Islam sekali gus menjaga ketenteraman awam menjadikan ia memang layak menjadi kerajaan sepenggal.

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional Membina Negara Sejahtera’

Ustaz Idris Bin Ahmad
Naib Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Januari 2020 | 18 Jamadilawal 1441