Home Berita PAS Melaka

Rencana : SERIK MEROKOK SELEPAS JALANI PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG

2402
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Ada pengalaman yang penulis pernah lalui yang ingin penulis kongsikan bersama pembaca. Sesuatu yang penulis harap dapat menjadi pengajaran kepada semua yang membaca rencana ini. Bulan April 2018 yang lalu penulis disahkan menghadapi masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Besar Melaka selama lima hari. Selepas itu pihak hospital memberi dua pilihan samada untuk membuat rawatan susulan ke IJN atau ke Hospital Serdang.

Hospital Serdang sesuai untuk mereka yang bukan kakitangan kerajaan kerana kosnya lebih rendah tetapi masa menunggu sangat lama. Sekiranya di IJN ia lebih cepat tetapi ia mahal untuk bukan kakitangan kerajaan. IJN sebenarnya bertaraf hospital swasta. Ahli keluarga penulis memilih untuk ke IJN supaya rawatan untuk penulis dapat dibuat segera.

Penulis kemudian mendapat tarikh untuk janjitemu pertama ke IJN. Pada janjitemu pertama terus doktor menetapkan tarikh untuk prosedur engiogram. Engiogram adalah prosedur untuk mengesan sekiranya berlaku sumbatan pada arteri jantung. Apabila prosedur engiogram itu dijalankan penulis disahkan ada sumbatan dan perlu kepada pembedahan pintasan jantung.

Semasa mendengar perkhabaran itu penulis rasa seperti dunia akan kiamat! Perkara yang sangat penulis takutkan telah menjadi kenyataan. Pembedahan! Selepas itu pihak IJN terus menetapkan tarikh pembedahan, hanya seminggu selepas dari tarikh prosedur engiogram itu.

Hakikat bahawa penulis perlu menjalani satu pembedahan besar bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima. Sehinggakan pada waktu itu penulis tidak mampu untuk menekan papan kekunci telefon bimbit untuk memaklumkan kepada kawan-kawan tentang hal ini. Untuk menaip “Aku akan menjalani pembedahan” itu pun tidak tertaip kerana ia sesuatu yang menggerunkan untuk penulis taip dengan jari sendiri.

Sehinggalah seorang rakan sekolah lama penulis yang tahu penulis telah melakukan engiogram bertanya pada penulis keputusannya. Barulah penulis memaklumkan padanya dan meminta beliau memaklumkan kepada rakan-rakan sekolah yang lain.

Hakikat semua ini adalah berpunca dari rasa sangat takut penulis untuk melalui pembedahan dan tidak mampu untuk berkata atau menaip untuk memaklumkan berita ini. Selain itu penulis tidak mahu diganggu dengan panggilan telefon atau whatsapp kerana penulis dalam proses untuk menenangkan diri untuk menghadapi pembedahan besar ini.

Dari pengalaman penulis, dalam menghadapi pembedahan seperti ini, jika kita fikir yang kita ingin hidup lama lagi biasanya kita tidak akan tenteram. Jika kita redha dan bertawakkal serta serahkan nyawa kita pada Allah dan terima hakikat sekiranya di situlah ajal kita, barulah kita akan rasa tenang. Itu yang penulis buat.

Pada tarikh keramat 3 Julai 2018 penulis melalui pembedahan pintasan jantung di IJN. Memasuki dewan bedah adalah suatu pengalaman yang sangat mendebar dan menggerunkan. Rasa macam nak menjalani hukuman mati. Pembedahan itu selama lebih kurang lima jam tetapi untuk orang yang dibedah mereka rasa seolah-olah sekelip mata sahaja kerana kita akan ditidurkan.

Yang menggerunkan ialah jangkamasa sekelip mata yang kita rasa itu samada kita selamat atau sebaliknya. Jika nyawa kita panjang kita akan rasa kita tutup mata dan kita akan rasa sekelip mata kita sudah di ICU. Jika nyawa tak panjang maka sekelip mata kita sudah di alam barzakh. Dan bila penulis membuka mata hanya rasa syukur yang penulis panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana memberi penulis nyawa kedua.

Adik-beradik dan ipar-duai penulis berkongsi membiayai kos rawatan yang tinggi itu. Jumlahnya pula bukan sedikit. Selain itu rakan-rakan alumni sekolah SMK (A) Sultan Muhammad Melaka, alumni UUM, rakan-rakan pensyarah dan bekas pelajar Kolej Profesional MARA Melaka yang penulis pernah mengajar mereka di situ turut memberi sumbangan peribadi mereka bagi membantu penulis. Pengorbanan dan kasih sayang mereka akan penulis kenang hingga akhir hayat.

Banyak kali juga penulis cuba menasihati rakan-rakan yang merokok supaya mengambil pengajaran dengan apa yang penulis lalui tetapi nampaknya tiada kesan. Sama seperti orang lain yang dahulu pernah menasihatkan penulis supaya berhenti merokok. Juga tidak penulis hiraukan ketika itu.

Mungkin mereka juga akan berhenti merokok dan menasihatkan orang lain agar berhenti merokok apabila mereka telah menjalani pembedahan pintasan jantung. Itu pun jika panjang umur selepas pembedahan itu.

Yang paling selalu kita dengar ialah orang-orang yang masih buat-buat tanya benarkah rokok punca jantung tersumbat? Bila kita jawab ya, mereka akan tanya pula macam mana pula merokok boleh menyebabkan jantung tersumbat? Sekadar untuk mempersendakan nasihat.

Biasanya seseorang yang mengalami saluran jantung tersumbat akan dirawat dengan salah satu dari tiga cara iaitu belon, stent atau pembedahan pintasan. Prosedur belon atau stent juga dipanggil angioplasti untuk kes yang tidak terlalu serius. Ia dilakukan pada masa yang sama prosedur engiogram dijalankan.

Di kalangan mereka yang telah menghidapi saluran jantung tersumbat ini pun biasanya yang serik dan berhenti merokok ialah mereka yang telah melakukan pembedahan. Mereka yang sekadar melakukan prosedur angioplasti kebanyakan mereka kembali merokok semula. Pada hal mereka yang melakukan prosedur angioplasti lebih mudah untuk diserang semula penyakit jantung ini. Mungkin kerana prosedur angioplasti ini tidak seperit menjalani pembedahan. Prosedur memasang stent atau belon ini tidak sakit.

Memang benar ada juga mereka yang pernah melakukan pembedahan pintasan jantung tetapi kembali merokok. Itu pendirian masing-masing. Mungkin mereka tidak serik. Tetapi penulis secara peribadi rasa serik. Tidak mahu lagi terjadi kali kedua.

Penulis mula merokok ketika berusia 30 tahun. Mula sahaja menjadi perokok penulis terus menjadi perokok tegar dan menghisap hampir dua kotak rokok sehari. Yang menariknya sebelum menjadi perokok penulis adalah pembenci rokok yang tegar. Dan ia berubah sekelip mata dari pembenci rokok tegar kepada perokok tegar. Kisahnya panjang untuk dicerita dalam rencana ini.

Selepas menjadi perokok baru penulis tahu bahawa rupanya perokok ini memang tidak pernah takut jika anda bercerita kepada mereka tentang penyakit-penyakit yang bakal mereka hadapi seperti serangan jantung atau kanser. Mereka hanya takut apabila penyakit itu telah pun menyerang mereka.

Penulis pernah berjumpa dengan seorang rakan yang bercerita tentang pengalamannya mengalami sakit dada disyaki serangan jantung. Kata beliau ketika doktor mengatakan yang dia disyaki terkena serangan jantung dia terus mengeluarkan kotak rokok dari poket seluarnya dan mencampakkan rokok itu ke dalam tong sampah di klinik itu. Masa itu dia rasa benci pada rokok yang menyebabkan dia mungkin sakit jantung. Masa tu timbul rasa kesal. Kerana merokok dia menghidapi sakit jantung. Tetapi selepas dilakukan pemeriksaan dan doktor sahkan sakit dada yang dialami itu bukan sakit jantung dia terus pergi semula ke tong sampah untuk mengambil semula rokok yang dibuang tadi!

Selain itu ramai yang tertipu apabila mereka beranggapan bahawa orang yang aktif bersukan tidak akan mengalami jantung tersumbat. Sebenarnya jika kita aktif ia hanya boleh membakar lemak di kulit kita dan badan kita boleh jadi tegap. Tetapi ia tidak boleh membakar lemak di dalam salur darah. Itu sebenarnya yang menjadi punca jantung tersumbat. Itu yang doktor beritahu penulis. Sebab itu kita selalu dengar ahli sukan mati terkena serangan jantung di tengah padang. Lebih-lebih lagi jika mereka merokok. Penulis sendiri pernah berjumpa dengan seseorang yang melalui pembedahan pintasan jantung kerana jantung tersumbat walau dia biasa berjoging 10 kilometer setiap hari.

Mungkin pengalaman yang penulis lalui ini sebagai satu cara Allah swt memaksa penulis berhenti merokok pada usia 42 tahun selepas hanya dua belas tahun menjadi perokok tegar. Doakan semoga nyawa kedua yang Allah swt kurniakan pada penulis ini agar penulis gunakan untuk berbakti kepada perjuangan Islam dan masyarakat dan mengajak ysemua perokok untuk berhenti merokok. Amin

Penulis adalah Editor Berita PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah