Oleh : HANIFF ABD RAHIM
BUKIT KATIL : Dewan Pemuda PAS dan Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Hang Tuah Jaya mengadakan lawatan di beberapa Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) khususnya di parlimen Hang Tuah Jaya disini, semalam.
PASTI Hang Tuah Jaya bagi 2020, telah mencatatkan peningkatan jumlah pelajar seramai 1199 orang berbanding tahun 2019 lepas seramai 1176 orang.
Ketua Pemuda PAS kawasan Hang Tuah Jaya, Muhd Ridzuan Shariff berkata peningkatan jumlah pelajar PASTI berlaku ini disebabkan kebanyakan ibu bapa berhasrat mahu memberikan pendidikan awal anak-anak mereka yang baik terutama dalam ilmu agama dan fardhu ain.
“Alhamdulillah, PASTI hari ini terus mendapat tempat dalam hati masyarakat. Kami ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang menjadikan PASTI sebagai pilihan pertama untuk anak-anak mereka,” katanya.
Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS dan PAS kawasan mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) An-Najah, Bukit Katil.
Turut hadir sama dalam lawatan tersebut, Yang Di-Pertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip, Timbalan Yang Di-Pertua PAS, Puhat Bedol, Setiausaha PAS Kawasan, Mustafa Ali, Naib Dewan Pemuda PAS, Hafiz Yahya dan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Hang Tuah Jaya.