Home Artikel PAS Perlis

Jangan Mangsakan Pendidikan Negara – ADUN Guar Sanji

629
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU: Pengumuman perletakan jawatan Menteri Pendidikan oleh Dr Maszlee Malik semalam disifatkan sebagai suatu yang sudah dijangka.

Menurut ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, ketegasan yang beliau tunjukkan dalam beberapa isu kontroversi berkaitan pendidikan yang timbul sejak kebelakangan ini dilihat bukan sahaja memberikan tekanan kepada dirinya tetapi juga kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Hal ini menurut beliau, memaksa Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, memberikan ‘nasihat’ yang membawa kepada perletakan jawatan tersebut.

“Daripada kenyataan media semalam, beliau menyatakan dengan jelas bahawa tindakan meletakkan jawatan itu adalah atas ‘nasihat’ YAB Perdana Menteri, dan atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti (PBBM) serta kerajaan.

“Kita percaya, perletakan jawatan ini ada kena mengena dengan beberapa isu kontroversi yang timbul sejak kebelakangan ini, antaranya isu bantahan jawi oleh Dong Zong,” jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada sidang media khas di pekarangan Kementerian Pendidikan di Putrajaya semalam, Dr Maszlee Malik mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa hari ini setelah 20 bulan menerajui kementerian berkenaan.

Pengumuman berkenaan mengejutkan banyak pihak dalam dunia pendidikan negara yang menyifatkan beliau sebagai antara Menteri Pendidikan paling disenangi.

Hentikan Politik Melampau

Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan turut menggesa semua pihak supaya menghentikan budaya berpolitik secara keterlaluan yang dibimbangi akan memusnahkan masa depan pendidikan negara.

Sebarang isu atau permasalahan yang timbul dalam dunia pendidikan tegas beliau, tidak harus dijadikan modal politik sempit oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu dibincangkan secara bersama di meja rundingan.

“Sejak dahulu lagi, bidang pendidikan di negara kita sering menjadi mangsa akibat budaya berpolitik seperti ini yang pada akhirnya, rakyatlah yang terpaksa menanggung kesannya.

“Kita bimbang, kemelut ini akan turut memberi kesan kepada pelaksanaan program-program penambahbaikan yang telah dirancang oleh Kementerian Pendidikan, seperti yang dilaporkan oleh Dr Mazlee semalam,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri agar mengambil langkah segera menangani isu tersebut dengan melantik individu yang berkelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut.

“Jangan biarkan isu ini berlarutan kerana sudah pasti akan ada pihak-pihak tertentu yang ‘ingin menangguk di air yang keruh’ daripada kemelut yang berlaku,” ujarnya.