Home Berita PAS Melaka

Komen Editor Melaka : DR MAZLEE LETAK JAWATAN – SALAH PAS DAN UMNO?

1018
SHARE

Subuh tadi penulis mengaktifkan internet di telefon pintar penulis. Memang penulis jarang mematikan telefon pintar setiap kali penulis masuk tidur, sekadar nyahaktif internet sahaja.

Sebaik internet diaktifkan penulis mula membaca teks whatsapp yang masuk. Penulis terkejut membaca satu teks whatsapps yang dihantar seorang sahabat penulis yang merupakan penyokong tegar PH.

Beliau menghantar satu artikel tulisan Dr Kamarul Yusof dari UUM berkaitan dengan perletakan jawatan Dr Mazlee Malik. Itu tidak mengejutkan. Tapi bersama-sama dengan teks itu turut dihantar bersama satu foto yang mengandungi perkataan mencarut. Walau pun perkataan itu bukan ditujukan pada penulis namun perkataan itu sungguh tidak sedap dibaca di subuh-subuh Jumaat yang mulia.

Dipendekkan cerita, ada dua mesej yang sahabat penulis itu cuba sampaikan. Mesej yang pertama, orang-orang Melayu PH rupanya sekarang ini sedang menyalahkan serangan PAS dan UMNO kepada Dr Mazlee menyebabkan beliau diarah meletak jawatan. Mesej yang kedua ialah, pada orang-orang Melayu PH, samada DAP, Dong Jiou Zong atau ekstremis bukan Melayu langsung tidak boleh disalahkan dalam isu perletakkan jawatan Dr Mazlee. Ikut macam mana pun yang salah dalam isu ini ialah PAS dan UMNO.

Sahabat penulis itu tidak menyatakan secara terang-terang dua mesej yang penulis nyatakan tadi. Namun apabila dia menghantar rencana Dr Kamarul yang menceritakan pergolakan antara Dr Mazlee dengan Dong Jiou Zong, sambil sahabat penulis menulis ‘caption’ “semua nak salahkan Cina DAP”, itu yang membuatkan penulis yakin bahawa memang dua mesej itu yang cuba beliau sampaikan pada penulis.

Patutlah dari petang semalam beberapa orang rakan-rakan penulis yang menyokong PH ‘pandang slack’ pada penulis. Rupa-rupanya pada masa ini semua Melayu PH sedang marah kepada penyokong-penyokong PAS dan UMNO dengan menuduh kami sebagai punca Dr Mazlee meletakkan jawatan. Penulis pun apa lagi, terus ketawa berguling-guling atas lantai!

Setahu penulis, Dr Mazlee berdepan tekanan dengan Dong Jiou Zong agar sijil UEC diiktiraf, PAS dan UMNO tidak menyokong UEC. Malah dari dulu lagi kami membantah pengiktirafan UEC.

Mazlee ingin laksana silibus tulisan jawi. Dong Jiou Zong tekan supaya batal. UMNO dan PAS mengecam pendirian Dong Jiou Zong. Tak pernah dengar PAS dan UMNO membantah tulisan jawi diajar di SJKC dan SJKT.

Isu komik ‘Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang berbaur komunis yang mana Dr Mazlee mengarahkan semua Jabatan Pelajaran tidak menerimanya. Tindakan Mazlee dikecam DAP. Tidak pernah pula penulis dengar PAS dan UMNO bersama-sama DAP menyokong agar dibenarkan pengedaran komik itu di sekolah-sekolah.

Rasanya yang PAS dan UMNO ‘bahan’ Mazlee sekitar isu ‘penghapusan tol Simpang Renggam’ dan isu kasut hitam sahaja. Dalam isu tol Simpang Renggam pun bagi penulis bukan salah Dr Mazlee seratus peratus. Dia cuma merujuk kepada menifesto. Dia pun tidak sangka yang parti yang didokongnya itu mahu menipu rakyat.

Tapi dari kemarahan yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong PH bahawa PAS dan UMNO, bukan DAP atau Dong Zong yang menjadi punca Dr Mazlee letak jawatan bermakna Dr Mazlee tertekan dengan isu Tol Simpang Renggam dan kasut hitam, bukan kerana isu tulisan jawi, pengiktirafan UEC dan Dong Jiou Zong.

Kita pun tidak pernah sangka yang Dr Mazlee rupanya tidak lut dengan isu besar. Tapi rupanya titik kelemahan dan tawarnya kekebalan Dr Mazlee hanyalah dengan isu kasut hitam dan tol Simpang Renggam yang selama ini dibesar-besarkan oleh PAS dan UMNO.

Tapi yang Melayu PH tak suka nak bincang ialah tentang kenyataan Dr Mazlee bahawa beliau dinasihatkan oleh Tun Mahathir untuk meletak jawatan. Lainlah kalau Dr Mazlee kata Tun minta fikirkan semula, namun dia tetap dengan keputusannya meletak jawatan. Kalau begitu yang berlaku lainlah ceritanya.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka