Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah al Mulk Siri 5

616
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 5

Ayat: 6-7: Isyarat Kekuasaan Allah pada Penciptaan Api Neraka (1)

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلِلَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ (٦)

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

إِذَاۤ أُلۡقُوا۟ فِیهَا سَمِعُوا۟ لَهَا شَهِیقࣰا وَهِیَ تَفُورُ (٧)

Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

? Tafsir ringkas:

1. Selepas Allah SWT menyatakan secara khusus azab yang disediakan kepada syaitan, didatangkan pula pada ayat keenam akan balasan bagi para pengikut jejak syaitan, iaitu orang-orang kafir.

2. Orang kafir adalah mereka yang enggan dan ingkar untuk tunduk kepada Allah SWT akibat terpedaya dengan hasutan syaitan. Mereka ini disediakan dengan seburuk-buruk tempat kembali iaitu azab api neraka. Ibn ‘Asyur menyatakan ayat ini menyempurnakan makna ayat sebelumnya, yang menjelaskan bahawa neraka bukan hanya khusus untuk syaitan, tetapi juga disediakan untuk orang-orang kafir dan musyrik secara umum.

3. Dalam ayat ketujuh, Allah SWT menggambarkan betapa dahsyatnya seksaan yang diterima oleh penghuni neraka. Sejurus mereka dihumban ke dalam neraka, terdengarlah suara pekikan mereka yang menggambarkan ketakutan dan kesakitan yang dirasai, akibat api neraka yang panas menggelegak itu.

4. Sufyan al-Thauri membayangkan ahli neraka itu dihumban dan dibolak-balikkan umpama biji benih yang sedikit dimasukkan ke dalam air menggelegak yang banyak. Bayangkanlah.

? Pengajaran

1. Kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah SWT sahaja satu-satunya tempat pengabdian dan ketaatan secara mutlak. Suburkan keyakinan tersebut dengan melazimi sayyidul istighfar setiap hari.
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ ،وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، فَاغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ ،

“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam gengganman-Mu dan di dalam perjanjian setia (beriman dan taat) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

2. Sentiasalah bermuhasabah diri dengan membayangkan betapa dahsyatnya azab kepanasan bahang api neraka dan kesakitan yang disediakan buat mereka yang ingkar kepada Allah SWT supaya kita mudah tidak terpedaya dengan hasutan syaitan.

3. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah SWT agar ditetapkan iman dan diberi kekuatan untuk menjadi hamba yang taat kepada-Nya dan mampu berjihad melawan hawa nafsu sehingga akhir hayat. Hatta Rasulullah SAW yang bersifat ma’sum pun berdoa kepada Allah memohon agar ditetapkan hatinya dalam mentaati Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith berikut:

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash RA, beliau berkata; Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

“Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” [Hadith riwayat Muslim, No: 2654]

4. Apabila mahu bercakap dan bertindak, timbangkan dengan semasak-masaknya samada percakapan dan tindakan kita kelak akan mendapat pahala atau dosa, azab atau nikmat.

? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Ibn ‘Asyur

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
3 Januari 2020 / 7 Jamadil Awal 1441