Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Cabaran Dan Persediaan Ulamak Terajui Negara

596
SHARE

GOMBAK: Ulamak adalah golongan ilmuan yang beriman dan hanya takut kepada Allah lalu diberi kemuliaan serta ketinggian sebagaimana difirmankan dalam surah al-Mujadilah ayat 11, bahawa Allah mengangkat kedudukan mereka kepada beberapa darjat.

Naib Ketua Ulamak PAS Pusat, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Ulamak: Cabaran Dan Persediaan Dalam Menerajui Negara’ di Ijtimak ‘Alimat Malaysia di KUIZM, di sini kelmarin dahulu.

Menurut beliau, para Sahabat R.A dan Khulafa’ terdahulu telah menunjukkan teladan pelaksanaan amanah sebagai pewaris anbiya’ dari sudut menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya hingga akhirnya Islam muncul sebagai kuasa hebat dunia ketika itu.

Namun begitu ujarnya, terdapat lima kategori berbeza di mana sebahagiannya mendakwa mereka sebagai ulamak semata-mata kerana ilmu yang dipelajari, sedangkan pada aspek lain mereka adalah jauh dari hakikat sebenar pewaris Nabi.

“Antara lima kategori itu adalah ulamak yang baik dan ikhlas, golongan yang setia kepada Islam dan cemburu kepadanya, namun terlalu baik hati dan lurus. Mereka yang cinta akan agama dan cemburu kepadanya dengan menjalankan amar makruf nahi munkar, tetapi lupa kepada roh syariat serta risalahnya di bidang kemasyarakatan dan sosial, ulamak jahat, dan ulamak warasatul anbiya’.

“Hanya golongan ulamak warasatul anbiya’ yang meyakini Islam sebagai satu cara hidup yang membebaskan manusia dari perhambaan selain Allah. Mereka berkorban siang malam mengajak manusia menganut Islam dan membebaskan manusia dari jahiliyah yang menjajah sistem kehidupan.

“Walaupun begitu, ulamak warasatul anbiya’ sentiasa berhadapan dengan ujian dan halangan sebagaimana yang pernah di hadapi oleh para anbiya’ dan mursalin walaupun dengan keadaan suasana ujian yang berbeza terutama dari sudut haraki serta cabaran sains dan teknologi,” terang beliau.

Justeru menurutnya, beberapa persediaan perlu dilakukan oleh para ulamak meliputi kebolehan berbahasa, penguasaan ilmu, kemahiran berkomputer, menulis, berhujah dan memenuhi syarat-syarat serta akhlak, juga sifat yang perlu ada pada pimpinan.

Ustaz Khirul turut berkongsi gerak kerja yang boleh dilakukan oleh ulamak seperti bertindak menjelaskan Islam dari semua sudut, mengadakan perbandingan antara pelbagai aspek kehidupan antara Islam dan bukan Islam serta menghapuskan segala kekeliruan yang dilontarkan kepada Islam.

Selain itu beliau meminta para ulamak mentarbiyah masyarakat supaya mengerti akan tanggungjawab menegakkan Islam, seterusnya menyusun rapi semua tenaga yang telah ditarbiyah supaya mereka berfungsi dan berperanan terhadap perjuangan Islam.

“Ulamak hendaklah melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan serta politik dengan menjadi benteng kepada Islam untuk menghadapi seterusnya mengundurkan golongan taghut dari kerusi mereka dengan cara yang dibenarkan undang-undang,” pintanya lagi.

Kertas kerja yang dibentangkan oleh Ustaz Khirul Muntanazar dalam program Ijtimak ini merupakan nukilan mantan Ketua Ulamak PAS Pusat, Almarhum Dato’ Tuan Guru Harun Taib. – HARAKAHDAILY 24/12/2019

Cabaran dan persediaan ulamak terajui negara