Home Berita PAS Melaka

PAS Melaka Desak ADUN Gadek Letak Jawatan Secara Terhormat

3941
SHARE
Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik ditemani Ketua Penerangan PAS Melaka, Haji Bakri Jamaluddin dalam sidang media berkaitan isu YB Saminathan

Oleh: Shawal Ahmad

Foto : Abu Anas

KOTA MELAKA : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Melaka mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan meletak jawatan sebagai ADUN dan EXCO secara terhormat kerana status beliau kini masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung isu dakwaan penglibatan dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) selepas permohonan ikat jamin tertuduh dalam kes LTTE ditolak pada Rabu lepas.

Ini dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sedik dalam satu sidang media khas berkaitan isu ini di sini pagi tadi.

Kamarudin berkata, Adly Zahari sebagai Ketua Eksekutif Negeri Melaka perlu bertindak tegas dengan menasihatkan G.Saminathan melepaskan jawatannya sebagai ADUN dan EXCO dan memberi laluan kepada pemilihan semula wakil rakyat menerusi Pilihanraya Kecil (PRK) Dun tersebut bagi memberi laluan kepada individu lain yang boleh membuat kerja sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, sebagai ADUN, G Saminathan sepatutnya melakukan kerja dan menjaga kebajikan rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek dengan baik, namun beliau tidak dapat melaksanakannya.

Tambah beliau lagi, imej Ketua Menteri dan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Negeri Melaka terjejas disebabkan ketidakupayaan ADUN berkenaan yang juga EXCO Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri dalam melaksanakan tugas-tugas sebagai wakil rakyat.

‘’Kemungkinan kes ini akan berlarutan sehingga habis penggal menyebabkan rakyat DUN Gadek akan terabai terkontang-kanting tanpa wakil rakyat yang merupakan tempat untuk mereka menumpang teduh dan meluahkan segala masalah,’’ Jelasnya.

Kamarudin juga memuji tindakan pantas PDRM dalam penangkapan kepada individu yang terlibat didalam isu membabitkan gerakan LTTE. Gerakan tersebut diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran adalah kumpulan pengganas yang beroperasi dengan menggunakan senjata api dan bom. LTTE antara kumpulan yang diharamkan lebih 30 negara termasuk Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Malaysia.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum ada mana-mana pimpinan tertinggi DAP bersuara mengenai isu yang dikaitkan parti itu dengan kegiatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Beliau juga mahu DAP menyatakan pendirian parti itu untuk nyatakan sikap terus terang pada rakyat dan buat penegasan pada adun mereka yang terbabit dengan keganasan atau sebaliknya.

“Sekiranya desakan ini masih dikekalkan kita (PAS dan Umno) tidak teragak-agak untuk membuat satu gerakan yang akan menekan kerajaan sehingga ia tercapai” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Melaka, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Melaka ini ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin.