Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk : Siri 3)

452
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk : Siri 3

Ayat 3-4 : Bukti Kekuasaan Allah Pada Alam Semesta

? Firman Allah serta terjemahannya:

الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِنْ تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِنْ فُطُورٍ ٣

Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

ثُمَّ ارْجِعِ الْبَصَرَ كَرَّتَيْنِ يَنْقَلِبْ إِلَيْكَ الْبَصَرُ خَاسِئًا وَهُوَ حَسِيرٌ ٤

Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

? Tafsir:

1. Selepas menjelaskan tentang kejadian hidup dan mati dalam ayat sebelumnya, dalam ayat ketiga pula, Allah mengajak manusia agar merenungi tanda kekuasaanNya yang lain pula yang berada di bawah kerajaan milik Allah iaitu kejadian langit. Ayat ini menjelaskan bahawa Allahlah yang telah menciptakan tujuh langit yang berlapis-lapis atau bertingkat-tingkat. Keadaan langit dalam tujuh tingkat atau lapis ini juga telah disebutkan dalam beberapa ayat Quran yang lain dan juga hadith. Contohnya ayat 15 surah Nuh dan juga hadith mengenai peristiwa Isra’ Mikraj.

2. Terdapat beberapa pandangan dari sudut ilmu astronomi yang telah dikemukakan bagi menerangkan maksud tujuh tingkatan atau lapisan langit tersebut. Antaranya, tujuh lapisan langit itu merujuk kepada galaksi-galaksi, planet-planet dan juga lapisan atmosfera. Walau bagaimanapun, belum ada kepastian tentang ketepatan maksud-maksud tersebut kerana teori dan hasil kajian astronomi ini mungkin berubah dengan perkembangan sains dan teknologi semasa. Oleh itu, dalam mentafsirkan maksud ayat ini, Sayyid Qutb menasihatkan kita supaya beriman dengan maksud ayat ini secara zahirnya dan menyerahkan hakikatnya kepada Allah SWT.

3. Dalam ayat ini juga Allah menyatakan bahawa Dia telah menjadikan langit tanpa ada sebarang kepincangan atau ketidakseimbangan yang boleh dilihat dengan pancaindera kita. Kemudian, Allah mencabar manusia agar kembali memerhati kejadian langit, jika mereka berupaya menemui sebarang kecacatan atau kekurangan pada ciptaanNya. Hasilnya, sudah pastilah tiada sebarang kecacatan yang kita boleh lihat dengan pancaindera yang terbatas ini kerana
Allah telah mencipta langit dengan sangat rapi, sempurna, tanpa ada sedikit pun kekurangan.

4. Dalam ayat keempat, Allah memerintahkan manusia agar mengulangi pemerhatian mereka terhadap kejadian langit berulang kali kerana lazimnya manusia tidak dapat menemui kekurangan pada sesuatu perkara melainkan setelah dilihat atau dikaji berkali-kali. Namun, manusia tetap tidak dapat mencari kekurangan dalam penciptaan langit kerana tiada sebarang kekurangan yang ditemui. Bahkan mereka hanya mendapat keletihan dari usaha yang sia-sia itu.

? Pengajaran:

1. Marilah kita menggunakan pancaindera dan akal anugerah Allah untuk perkara kebaikan dan berusaha mengelakkan diri dari menggunakan pancaindera dan akal fikiran untuk perkara yang sia-sia. Justeru, berfikir dan kajilah kejadian alam semesta ini dengan tujuan yang betul iaitu untuk mengukuhkan dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan Allah, bukannya untuk mencari kekurangan atau kepincangan.

2. Tafakur alam adalah sebahagian daripada proses makrifatullah. Ajarilah anak-anak kita mengenali Allah melalui tafakur alam. Ajaklah mereka berfikir merenung kejadian alam seperti langit, udara, hujan, bukit bukau dan sebagainya, sambil mentadabbur ayat-ayat Al Quran yang berkaitan. Layani dan tangani persoalan- persoalan mereka secara ilmiah dan berhikmah. Di hujung sesi tafakur tersebut, bertasbihlah bersama-sama memuji kehebatan Allah Tuhan Maha Pencipta.

3. Kita hendaklah penuh sedar bahawa segala yang Allah ciptakan adalah penuh kesempurnaan. Kita manusialah yang sebenarnya bersifat lemah dan serba kekurangan.

4. Sebagaimana Allah menciptakan tujuh lapisan langit dengan sangat teliti, seimbang dan sempurna, begitulah juga segala kejadian lain di alam semesta ini. Hargai dan peliharalah alam sekitar ciptaan Allah ini, agar keseimbangannya terus memberi manfaat kepada manusia.

5. Sebagaimana sempurna dan telitinya Allah dalam mencipta, menyusun dan mengatur perjalanan alam semesta ini, begitulah juga sempurnanya peraturan kehidupan atau syariat yang Allah turunkan sebagai panduan hidup manusia. Justeru kita hendaklah mengikut segala yang diperintahkan oleh Allah dalam segenap aspek kehidupan kerana segala yang datang dari Allah, termasuk syariat yang diturunkan Allah adalah sangat sempurna dan sesuai untuk kemaslahatan hidup manusia.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Al-Qurtubi
Tafsir Fi Zilal
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
20 Disember 2019 / 23 Rabi’ul Akhir 1441