Home Berita PAS Melaka

6 MODEL KEPIMPINAN RASULULLAH SAW – TUAN GURU USTAZ ZULKIFLI

6416
SHARE

Oleh :  IBNATDEEN

TANGGA BATU – Buku ‘100 A Ranking Of The Most Influential Persons In History’ tulisan Micheal H. Hart telah memperakui ketokohan Rasulullah SAW sebagai penyebar agama Islam yang mentadbir dunia. Bahkan Baginda Rasulullah SAW telah menggungguli carta pimpinan paling berpengaruh di dunia.

Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail dalam kupasannya di Forum Maulidur Rasul anjuran PAS & UMNO Sungai Udang pada Jumaat, 22 November lepas, telah menegaskan karaketer kepimpinan seseorang pemimpin akan menentukan corak kejayaan dan kegagalan sesebuah pentadbiran.

Karakter yang pertama menurut beliau ialah sifat insaniah. Disebabkan kita memimpin manusia, maka pemimpin perlu menitikberatkan persoalan kemanusiaan yang tergambar sempurna melalui keperibadian akhlak mulia. Rasulullah SAW itu merupakan contoh paling baik dalam akhlak khususnya, sesuai dengan tujuan pengutusan Baginda Rasulullah SAW sebagai penyempurna akhlak di dunia.

Sifat yang kedua menurut Tuan Guru Ustaz Zulkifli lagi adalah sifat tawadhuk. Rasulullah SAW sangat suka bermesyuarat dan mengambil pandangan sahabat baginda. Implikasinya sifat tawadhuk ini, melahirkan rasa kasih sayang dan kesediaan rakyat untuk menuruti kepimpinan tanpa ada rasa bahawasanya pemimpin ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Tambah beliau lagi, untuk menjadi pemimpin, seseorang itu perlu memiliki kompentensi. Ulasnya, nilai kompentensi yang paling utama adalah seseorang pemimpin perlu bersikap cerdik dan bijaksana. Sikap cerdik pula datang dari kekayaan ilmu pengetahuan. Bahkan satu anugerah dan kelebihan ke atas Baginda Rasulullah SAW adalah latar belakang keluarga besar baginda merupakan golongan kepimpinan. Kelebihan ini menjadi satu nilai tambah sebagai pengalaman dan pemerhatian buat Baginda Rasulullah SAW.

Tegasnya, karakter kepimpinan paling utama yang perlu dicontohi daripada Rasulullah SAW ialah berintegriti tinggi . Katanya, sikap ini melahirkan keyakinan masyarakat untuk beriman dengan ajaran yang dibawa Baginda Rasulullah SAW. Sikap tidak jujur,mengambil kesempatan serta memonopoli dengan kekayaan dan jawatan hanya akan menimbulkan keraguan rakyat seterusnya menyebabkan kepimpinan tersebut tidak ditaati.

Karakter kepimpinan Rasulullah SAW yang unik, menurut beliau lagi, adalah mahabbah iaitu kecintaan. Cinta merupakan kuasa luar biasa. Jelasnya, kesediaan kepimpinan turun bersama rakyatnya dalam susah dan senang, bahaya dan selamat,aman dan pancaroba akan melahirkan rasa mahabbah dalam diri rakyat sehingga melahirkan sikap kesetiaan dalam diri mereka.

Akhir sekali, ujarnya, kepimpinan Rasulullah SAW mempunyai tanzim. Organisasi yang dibina oleh Rasulullah SAW merupakan sistem kepimpinan yang unggul. Sesebuah kepimpinan mesti dikemudi seorang ketua tidak boleh dua atau berbilang-bilang. Baginda Rasulullah SAW memimpin dengan saf yang kukuh dalam keadaan kestatuan ketaatan dan kepatuhan diberi kepada Baginda Rasulullah SAW tanpa berbelah bahagi.