Oleh : Mustaman Bin Mustain
19 November 2019
SANDAKAN : PASTI Zon Sandakan telah menganjurkan Hari Anugerah Kecemerlangan (HAK) pada ahad lalu di Batu 2, dekat sini dalam suasana penuh gilang gemilang dengan beberapa anugerah yang diberikan kepada penerima.
Program yang melibatkan PASTI dari daerah Sandakan termasuk Beluran dan Telupid itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada murid-murid dan warga PASTI yang mencapai kejayaan sepanjang sesi persekolahan 2019.
HAK kali ke 30 itu juga memberikan sijil tamat persekolahan kepada hampir 400 orang murid melibatkan graduan 6 tahun yang tamat belajar dari 17 buah PASTI serta murid-murid cemerlang bagi kategori 6 tahun dan 5 tahun.
Majlis ini turut memberi penganugerahan kepada Murid Terbaik PASTI Zon Sandakan (Akademik) 6 Tahun dan 5 Tahun yang telah disandang masing-masing oleh Muhammad Idlan Hakimi Bin Sahlan, murid PASTI Saidina Uthnan dan Abdullah Naseh Ulwan Bin Mohd Ibrahim, murid PASTI Al-Hadi.
Buat julung kalinya juga, penganjuran ini memberikan pengiktirafan kepada penerima anugerah Murid Terbaik PASTI Zon Sandakan (Pra Tahfiz) 6 Tahun dan 5 Tahun yang masing-masing diterima oleh Muhammad Khamirullah Bin Abdullah, murid PASTI Saidina Ali dan Abdul Muaz Bin Ahmad Hanafi, murid PASTI Saidina Umar.
Berucap merasmikan majlis, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Sabah, Abdul Waheed Mohamad memberi pujian atas pencapaian yang diraih oleh PASTI apabila berkembang pesat bermula tahun 1989 hingga kini.
Tambahnya, murid-murid PASTI ini bakal mencorakkan lukisan pemerintahan negara tercinta ini pada masa akan datang justeru mereka perlu diberikan bekalan asas agama Islam agar mereka menjadi pemimpin yang berguna untuk agama.
Abdul Waheed juga mengingatkan ibu bapa agar turut memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi muslim mereka disamping tambahan ilmu daripada guru-guru.
Disamping itu, pelancaran Tabung Infaq Tunai Pembelian Bangunan Petadbiran PASTI Sandakan juga telah disempurnakan oleh Abdul Waheed selepas merasmikan majlis diiringi oleh Pengerusi PASTI Sandakan, Heryanto Ladati dan para jemputan khas.
Selain itu, majlis penuh warna warni itu turut memberikan anugerah-anugerah lain iaitu Anugerah KPI Terbaik Cawangan, Anugerah Khidmat Bakti, Anugerah Khas JIBG, Anugerah Ibu Bapa Prihatin dan Anugerah Alumni Cemerlang PASTI.