Oleh : ABU ANAS
SEMABOK – Secara rasminya petugas Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Melaka (JPrN) akan berkampung di Tanjung Piai bermula esok bagi membantu kempen Pilhan Raya Kecil (PRK) yang telah bermula Sabtu lepas.
Memandangkan kedudukan Melaka berhampiran dan jiran kepada Johor, PAS Melaka akan memberikan sokongan padu melalui kekuatan jentera parti sepenuhnya sehingga hari membuang undi 16 November nanti.
Pengarah JPrN Melaka, Bahiki Ismail berkata atas semangat taawun Muafakat Nasional dan arahan dari Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, JPrN Melaka diberi tanggungjawab untuk membantu jentera PAS Johor dan BN Melaka.
“Sebelum ini pun kita (JprN Melaka) telah bekerjasama dengan BN Melaka di PRK Semenyih dan Rantau, alhamdulillah kedua-duanya membuahkan hasil,” katanya.
Tambah beliau lagi, JPrN Melaka akan bertugas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Nenas Tengah, Pekan Nenas Selatan dan Ladang Sungai Burung.
“Kali ini sasaran kempen kita bukan hanya menumpukan kepada pengundi-pengundi Melayu dan ahli PAS sahaja bahkan tidak mengira agama dan bangsa,”jelasnya.
Walaupun PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru, rata-rata penganalisis politik bersetuju ini adalah medan ujian sokongan kepada MCA, Muafakat Nasional dan PH.
Untuk rekod PRU14, Bersatu memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai ini dengan hanya majoriti tipis 524 undi.