Oleh :SHAWAL AHMAD (WARM)
KOTA MELAKA: Akademi Tarbiyah (AKTAR) Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Melaka (DPPKKM) telah mengadakan usrah kali ke-7 di PASTI Ar-Rasyad, Padang Temu, di sini semalam.
Program dipimpin oleh Pengarah AKTAR Kawasan, Ustaz Zawawi Zainal Khan ini telah dihadiri oleh pimpinan Pemuda PAS Kawasan Kota Melaka dan Pemuda PAS Cawangan Padang Temu.
Program ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan para pemuda dengan aktiviti usrah ke arah meningkatkan lagi kekuatan jemaah menerusi pemerkasaan potensi diri anggota.
Ustaz Zawawi yang juga Naqib DPPKKM menyampaikan teks usrah kali ini bertajuk ‘Sebelas Adab & Matlamat Usrah’.
Program tersebut dimulakan dengan Tilawah Al-Quran dengan membaca surah Al-Ahzaab secara bergilir-gilir setiap seorang, saling menyemak dan memperbetulkan bacaan juga tajwid.
Dalam pengisiannya, Ustaz Zawawi mengingatkan agar segala yang disampaikan dapat diamalkan dalam usrah-usrah yang akan datang dan juga dalam kehidupan seharian.
Pihak AKTAR juga mengemukakan buku Manhaj Usrah PAS terbitan Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat bagi kegunaan usrah yang wajib dipakai di semua peringkat.
Antara adab usrah yang ditekankan oleh Ustaz Zawawi dalam usrah kali ini adalah berkenaan dengan menepati masa. Menghadiri usrah pada masa yang ditetapkan merupakan salah satu dari penyempurnaan iltizam tanzimi (komitmen berorganisasi) iaitu al-iltizam bil maueed (menepati janji).