KENYATAAN MEDIA
HORMATI PILIHAN PENGGUNA MUSLIM
Parti Islam Se-Malaysia meminta Menteri Kewangan berhenti memainkan sentimen perkauman sempit dan menghormati pilihan bebas pengguna Muslim. Kempen utamakan produk Muslim adalah kesedaran awal para pengguna Muslim untuk memilih produk yang halal, baik dan diusahakan oleh orang Islam. Setakat hari ini, tidak ada satu kempen boikot produk bukan Islam yang dilancarkan oleh PAS.
Setiap pengguna mempunyai kecenderungan untuk memilih yang terbaik untuk diri mereka. Tidak ada satu paksaan. Lantaran itu, mereka lebih berhati-hati dan bersifat selektif untuk mendapatkan produk yang terbaik.
Sementara itu, PAS juga menggesa kerajaan untuk memantau dan menyekat lambakan produk yang mengelirukan pengguna seperti menggunakan nama, gambar produk dan logo mirip Islam tetapi dihasilkan oleh bukan Islam, penipuan logo halal serta pengeksploitasian wanita dan kanak-kanak dalam pengiklanan.
Pihak kerajaan hendaklah lebih memfokuskan kepada aktiviti tidak bermoral dalam perniagaan seperti penipuan, monopoli, permainan harga dan ‘black economy’. Hal ini lebih serius dan boleh meranapkan pasaran sehingga memberi kesan besar ke atas pengguna. Tambahan pula, harga barang secara umumnya tidak menunjukkan penurunan walaupun setelah SST diperkenalkan.
Sekian, terima kasih.
TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
2 Muharram 1441 | 2 September 2019