Kita menanti kemerdekaan kedua
‘AISYAA YASMIN / 31 Ogos 2019
BATU PAHAT : Pada era 90-an kita telah merdeka dari penjajahan British, tapi pada era ini kita menunggu kemerdekaan kedua yang membebaskan kita dari kepimpinan PH.
Demikian intipati ucapan Kamaruzaman Mohamad, Ketua Penerangan PAS Malaysia di pentas Ceramah Perdana Himpunan Penyatuan Ummah Johor,di sini semalam.
Kamaruzaman berkata, pemimpin kini menjadikan umat Islam semakin jauh hati antara satu sama lain dan dihasut dengan perasan hasad dengki antara satu sama lain.
Sebelum itu, beliau turut mengulas lanjut berkenaan sejarah yang panjang ini dan menurutnya, kaum Melayu yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu telah menerima baik kedatangan kaum Cina dan India yang masing-masing dibawa masuk dari negara asal mereka oleh pihak British.
Bahkan sehingga ini katanya, mereka turut diberi kelayakan mengundi untuk menentukan kepimpinan negara.
Sikap toleransi ini walaubagaimanapun terikat dengan perlembagaan negara iaitu Islam sebagai agama rasmi.
Kendatipun demikian, mengikuti isu semasa berkenaan khat jawi, sikap segelintir kaum yang dilihat fobia dengan isu ini sedikit mengguris perasaan kaum asal.
Lebih parah lagi katanya,mereka sedaya upaya menentang apa saja perkara berkaitan Islam.
Demikian cetus beliau berkenaan sikap segelintir warga Malaysia yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa Islam sebagai agama rasmi di negara ini, meskipun hakikatnya khat jawi hanya merupakan lakaran seni yang indah tapi disalah erti dengan agenda islamisasi.