Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin: Ziarah Mahabbah di Johor

487
SHARE

Skuad Prihatin: Ziarah Mahabbah di Johor

JOHOR, 8 Ogos 2019 : Pencemaran toksik yang melanda Pasir Gudang di Johor kini masih berlarutan dan semakin ramai warganya mengalami masalah kesihatan yang membimbangkan. Justeru Skuad Prihatin dari Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) telah mengiringi YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), turun padang menziarahi beberapa orang penduduk sekitar yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan berpunca dari gelombang pertama pencemaran Sungai Kim Kim sehingga kini.

Terdahulu, bermula daripada pencemaran Sungai Kim Kim gelombang pertama, Nurumairah Syahmina Nordin, 15 tahun, adalah antara 4,035 mangsa yang dirawat dan mendapatkan rawatan 3 kali di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Batu Pahat. Ekoran dari itu, Nurumairah juga sehingga kini perlu menjalani pemeriksaan susulan kerana mengalami masalah paru-paru dan mata.

Ziarah kedua pula ialah Encik Zainuddin Salam yang dilaporkan mengalami pening, muntah-muntah pada peringkat awalnya. Hal itu mengakibatkan penglihatan beliau terjejas akibat gangguan saraf pada mata. Sehingga kini, En Zainudin masih menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail.

Sebaik selesai menziarahi dan menyerahkan sumbangan, YB Senator Ustazah Nuridah dibawa Skuad Prihatin Johor meninjau operasi kilang-kilang di Pasir Gudang dan keadaan terbaru sekitar Sungai Kim Kim.

Sejurus selepas itu, YB Senator Ustazah Nuridah bergerak meneruskan ziarah ke Segamat bagi menyampaikan sumbangan kepada Puan Salbiah Ismail yang menderita penyakit Giant Cell Tumor sejak 19 tahun lepas. Puan Salbiah merupakan seorang muslimat yang sangat aktif dalam Jemaah. Beliau juga telah menginfaqkan kediamannnya untuk gerak kerja jemaah, Pemuda dan lain-lain. Menurut YB Senator Ustazah Nuridah, sebelum ini rumah Puan Salbiah juga digunakan untuk sambutan Hari Raya bagi PAS Kawasan Segamat.

Turut hadir mengiringi YB Senator Ustazah Nuridah dalam ziarah tersebut ialah Puan Khadijah Mahmud selaku ahli jawatankuasa (AJK) DMPM, Naib Ketua DMPNJ, Puan Sabariah Mohd Amin dan beberapa orang AJK dari DMPNJ. Selain itu, misi ziarah ini juga turut disertai Dr. Karim Deraman dan En Aziz Abdullah yang mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.