KORBAN MENZAHIR RASA SYUKUR MENYEMAI TAQWA
Tebrau, 13 Ogos – Tiga buah PAS Cawangan serta PASTI Al-Irfan Tebrau menjayakan agenda ibadah korban PAS Kawasan Tebrau tahun ini.
Istimewanya konsep ibadah tahun ini, PAS Kawasan membuka ruang kepada cawangan untuk melakukannya pada tarikh pilihan dengan penyertaan korban masing-masing. Sejumlah 9 ekor lembu keseluruhannya selamat dikorbankan pada program yang berlangsung selama dua hari bermula dari Eid Adha yang pertama.
PAS Cawangan Taman Pasir Putih mengorbankan 2 ekor lembu pada Eid Adha pertama. Sementara itu, PAS Cawangan Taman Kota Masai (1) pula mengorbankan 3 ekor lembu di perkarangan Balai Islam Tok Guru Nik Aziz (TGNA) pada hari yang sama. Korban tahun ini merupakan kali kelapan bagi PAS Cawangan Taman Kota Masai (1).
Pengisian ilmu disampaikan oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tebrau, Al-Fadhil Ustaz Khirul Muntanazar Ismail menyerikan suasana sewaktu proses melapah dan menimbang daging korban. Tazkirah ringkas tersebut berkisar tentang ibrah di sebalik pengorbanan.
Memulakan perkongsian dengan tujuan dan matlamat perhimpunan agung manusia yang berlaku setiap tahun 9 Zulhijjah di Padang Arafah, bukan sekadar menggambarkan keadaan saat di mahsyar, namun ia membawa maksud kesatuan ummah yang harus dipupuk supaya Islam kekal gemilang seperti di zaman Rasulullah SAW.
Diteruskan lagi dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, anaknya Nabi Ismail AS serta keluarga baginda, beliau membawa hadirin kepada awal berlakunya peristiwa korban, bilamana Nabi Adam AS menerima ujian supaya anak-anaknya perlu mempersembahkan korban bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika itu.
“Dalam hendak melakukan pengorbanan, pastinya akan ada halangan dan kesukaran yang berlaku. Namun, Allah SWT menyebut dan menegaskan bahawa setiap kesukaran itu pasti ada jalan penyelesaian. Jadi, jangan mudah berputus asa terhadap rahmat Allah”, terang beliau yang juga Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.
Nafsu antara halangan utama. Nafsu tidak mampu dibuang, tapi mampu dikawal dan dibendung. “Sebab itu, ikut rasa binasa, ikut hati mati. Tapi kalau iman dan Islam pasti akan selamat”, katanya lagi sebelum mengakhiri tazkirah ringkas pada pagi itu.
Suasana begitu meriah sepanjang program dengan kehadiran para peserta dan ahli cawangan. Mereka saling bekerjasama sehingga selesai pengagihan daging kepada asnaf dan mereka yang layak menerima. Kesemua peserta melahirkan rasa syukur atas ibadah yang mereka lakukan itu.
Pada Eid Adha kedua pula, PAS Cawangan Taman Desa Jaya menyusuli dengan dua ekor lembu dan dua ekor lagi menerusi PASTI Al-Irfan Tebrau telah selamat dikorbankan di Surau Al-Multaqa, Taman Ehsan Jaya. PAS Kawasan Tebrau mendoakan semoga ibadah para peserta diterima Allah SWT.