Oleh : Tinta Tebrau
Tebrau, 09 Julai – Pengurusan PASTI Al-Irfan Tebrau berbesar hati menerima tawaran Program Saringan Penglihatan Murid Pra-Sekolah dari Unit Optometri, Jabatan Oftalmologi Hospital Sultan Ismail dengan kerjasama ODEX Optometrist. Program yang dikenali sebagai Amblyopia and Visual Impairment Screening (ALVIS) ini merupakan inisiatif Prevention of Blindness dan Visual Impairment dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dua (2) buah PASTI cawangan telah dipilih untuk menjalani pemeriksaan ini. Bermula pada 02 Julai bagi sesi pertama dan 09 Julai untuk sesi kedua, disambut baik dengan penyertaan seramai 280 orang murid bersama sokongan dan dorongan ibubapa/penjaga murid dari kedua-dua PASTI cawangan tersebut.
“Saringan ini penting kerana masalah penglihatan kanak-kanak dapat dikenalpasti dan dirawat dengan berkesan pada peringkat awal”, terang Pegawai Optometri, Nur Adilah Abdullah ketika sesi penerangan ringkas. Sambungnya lagi, “Jika lewat ia akan menyebabkan amblyopia (mata malas) dan memberi kesan negatif kepada pembelajaran”.
Pemeriksaan yang dijalankan sepanjang dua sesi merangkumi pemeriksaan kesihatan mata, pemeriksaan tahap penglihatan, dan pemeriksaan penglihatan binokular. Rumusan dari pemeriksaan yang dijalankan ke atas murid mendapati pengesanan awal masalah rabun dan juling, masalah mata malas (amblyopia) serta masalah kesihatan mata luaran.
“Dapatan hasil dari program ini, pemeriksaan lanjut ke Klinik Mata, Hospital Sultan Ismail amat disarankan bagi yang mempunyai masalah seperti disebut. Sekiranya lambat bertindak, dikhuatiri murid akan berasa rendah diri, mengalami masalah pembelajaran dan berkemungkinan pergaulan sosial akan terbatas”, respon Nor Aida Ashari ketika ditemu bual. Beliau juga antara Pegawai Optometri yang membantu menjayakan program ini.
Seramai tiga (3) orang Pegawai Optometri yang terlibat termasuk Sky Chew Shih Kae dalam memastikan program ALVIS ini berjalan sempurna. Dua PASTI cawangan tersebut ialah PASTI Al-Irfan 7, Taman Puteri Wangsa dan PASTI Al-Irfan 8, Ulu Tiram Bandar. Pihak pengurusan PASTI Al-Irfan Tebrau bukan sekadar mementingkan pendidikan, bahkan kesihatan fizikal juga sama penting untuk dipelihara.
Justeru itu, menyeru kepada ibubapa/penjaga agar mendapatkan pemeriksaan atau rawatan lanjut sekiranya mendapati anak-anak mereka dikenalpasti mempunyai tanda-tanda masalah mata. Terdahulu, pihak pengurusan PASTI Al-Irfan Tebrau telah menerima kunjungan dan program kesihatan gigi dari Kodomo Lion yang berpangkalan di Selangor.