Home Kenyataan Media PAS Terengganu

Guan Eng & Anwar Mesti Buktikan Mereka Setia Kepada Mahathir

1898
SHARE

GUAN ENG & ANWAR MESTI BUKTIKAN MEREKA SETIA KEPADA MAHATHIR

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Sebenarnya bukan baru sehari dua ini didedahkan berkenaan usaha bagi menjatuhkan Tun Mahathir Mohamad (Tun M) sebagai Perdana Menteri (PM).

Seawal suku keempat tahun lalu, sudah pun ada pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri bercakap secara terbuka mengenainya. Mungkin, bertujuan meredakan sedikit gerakan sumbang itu.

Malangnya, ia makin kuat. Cubaan menggulingkan Tun M dibuat beberapa kali dan menerusi pelbagai kaedah. Mujur, ia gagal.

Dalam tempoh itu sehingga sekarang, tidak hairan jika pendirian beberapa pemimpin utama parti-parti PH dalam banyak isu selalu berbeza dengan pandangan Tun M. Lihat sahaja dalam isu ICERD, UEC dan pilihan raya PBT.

Sebelum isu-isu ini, Tun M juga tidak ada banyak pilihan selain bersetuju dengan pelantikan kontroversi yang dibuat bagi jawatan-jawatan utama dalam sistem keadilan dan badan kehakiman negara juga sebenarnya akibat daripada tekanan ‘kawan-kawan’ beliau dalam PH. Tambah lagi, pada masa itu kerajaan baru dibentuk dan Tun M tahu beliau perlu mengumpulkan lebih sokongan.

Mengapa ada parti dan pemimpin dalam PH mahu Tun M berundur sekurang-kurangnya ada dua sebab; (i) kerana dari awal menganggap dan menjadikan Tun M semata-mata sebagai alat untuk meraih kemenangan buat PH sebelum Anwar Ibrahim (Anwar) mengambil alih jawatan itu, dan (ii) kerana Tun M masih mempunyai orientasi politik yang beraspirasikan Melayu dan Islam – walaupun mungkin tidak sekuat UMNO atau PAS, namun yang sedikit itu pun amat tidak disukai oleh DAP yang berideologikan sosialisme.

Menariknya tentang pendedahan sehari dua ini ialah ia semakin berani dan berterus terang. Umum sudah mengetahui bahawa dalang di sebalik gerakan menjatuhkan Tun M sebagai PM ini ialah Anwar dan Guan Eng yang mengetuai DAP sendiri.

Sebab itulah, individu yang paling awal melenting dengan pendedahan PAS baru-baru ini susulan pertemuan Presiden PAS dengan Tun M adalah mereka berdua ini. Sedangkan Setiausaha Agung PAS tidak pun menyebut nama parti dan pemimpin tertentu.

Tetapi, Anwar segera menempisnya dengan menuduh bahawa ia adalah helah PAS untuk mengalih isu RM90 juta. Guan Eng pula cepat-cepat mengelak dengan mengatakan bahawa ia adalah pembohongan daripada PAS dan menuntut PAS mengemukakan bukti.

Sikap mereka berdua ini juga sekaligus memperlihatkan bahawa sokongan PAS kepada Tun M adalah ancaman besar buat mereka kerana sokongan PAS kepada Tun M jika berlaku undi tidak percaya pasti menggagalkan usaha mereka selama ini.

Akibat terlalu melenting, mereka berdua sebenarnya tersilap langkah kerana menyerang PAS semula. Sepatutnya, mereka berdua mesti buktikan bahawa mereka setia kepada Tun M selaku PM kerana itu sahaja sebenar-benar penafian terhadap pendedahan mengenai usaha menggulingkan Tun M ini.

Tarikh :
21 Februari 2019 | 16 Jamadilakhir 1440H