Home Artikel PAS Perlis

Utamakan Al-Quran dan Hadis Berbanding Akal

709 views
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

KANGAR : Umat Islam wajib mengutamakan nas daripada Al-Quran dan Hadis berbanding akal apabila berlaku pertembungan, demikian dinyatakan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Dato’ Dr. Hj. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Ini kerana menurutnya, kedua-duanya merupakan sumber rujukan tertinggi dalam Islam manakala kebijaksanaan akal fikiran manusia adalah terbatas manapun seseorang manusia itu berpelajaran tinggi.

“Kamu alim macammana sekalipun, jika akal bertembung dengan nas Al-Quran dan Hadis, akal mesti diletakkan di belakang,” katanya ketika berucap pada program Liqa’ Fikri PAS Perlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) baru-baru ini.

Turut serta dalam program berkenaan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli dan Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob.

Hujan lebat tidak menghalang para peserta program untuk hadir dan memenuhi ruangan dewan utama KOMPAS.

Menurutnya lagi,  perbuatan sesetengah pemimpin dalam negara yang meletakkan akal dahulu berbanding nas agama telah mengancam pelaksanaan Islam di dalam negara.

Beliau memberi contoh, bagaimana sebahagian daripada pemimpin beragama Islam dalam kerajaan sanggup mengutamakan hujah akal berbanding nas-nas syariat dalam isu pindaan RUU355 serta ICERD.

Sikap yang demikian ujarnya merugikan Islam itu sendiri kerana menyebabkan berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam manakala masyarakat bukan Islam terus menolak pelaksanaan syariat Islam yang sebenarnya membawa keadilan kepada semua.