KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mempertingkatkan program bagi meningkatkan prestasi ‘sosio taqwa’ rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antaranya berkaitan agama, kebersihan, ekonomi dan budaya.
“Sebagai contoh sejauh mana kefahaman rakyat terhadap Dasar Membangun Bersama Islam. Adakah indeksnya rajin ke masjid atau belajar agama di samping membaca al Quran.
“Berdasar kepada laporan ia sudah begitu baik dan perlu diperluaskan. Namun masih ada perkara yang perlu diperbaiki contohnya indeks kebersihan,” katanya ketika merasmikan Seminar Indeks Sosio-Taqwa di sebuah hotel di sini, hari ini.
Program berkenaan anjuran bersama Pusat Kajian Strategik (PKS), Bahagian Pembangunan Islam pihak berkuasa tempatan dan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).
Seminar Indeks Sosio-Taqwa dibuat untuk mengkaji tahap kefahaman rakyat terhadap beberapa perkara.
Oleh itu Dr Fadzli berharap program berkenaan dapat diterjemahkan kepada rakyat terhadap beberapa isu yang perlu dipertingkatkan lagi.
“Hari ini kita bersama-sama berbincang dan meneroka bagaimana untuk mempertingkatkan kefahaman rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/10/2018
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/8326-kelantan-tingkat-sosio-taqwa-rakyat