KUALA LUMPUR: Timbul persoalan berhubung pelantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah bukan atas cadangan daripada parti sendiri.
Malah dikatakan Azmin menerima tawaran jawatan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa berunding dengan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, hari ini menimbulkan persoalan tersebut selepas Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dikatakan telah diberi peruntukan besar.
“Adakah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah diberi peruntukan yang besar dek kerana timbal balas kepentingan politik pelantikan Menteri Hal Ekonomi yang rupa-rupanya tidak dicadangkan oleh parti sendiri?
“Saya juga ingin menyoal apakah Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak merasa kekok apabila menjawat suatu jawatan yang sebenarnya tidak pun beliau dicadangkan oleh parti sendiri?
“Adakah benar nama Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak pernah dicadangkan oleh parti sendiri sebagaimana yang dibangkitkan oleh naib presiden Rafizi Ramli?” soalnya.
Ujar Marzuk, rakyat sudah pasti akan menerima kesannya sekiranya konflik dalaman yang berlaku melibatkan jemaah Kabinet menteri dalam PKR sebagai parti kerajaan dalam Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 14/8/2018
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/7787-adakah-azmin-tidak-dicadang-parti-sendiri