KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengambil kira penjagaan aurat bagi mendapat Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan.
Yang Dipertuanya, Ahmad Robert Abdul Rahim berkata, selain itu faktor kebersihan dan pengendalian makanan serta persekitaran premis turut diambil kira.
Menurutnya, sebanyak 239 diperiksa pada awal bulan ini dan mendapati 22 premis mendapat gred A sebagai sangat bersih, 107 gred B (bersih) dan 110 gred C (kurang bersih).
“Syarat utama yang dinilai mendapat gred A ialah dari sudut penyediaan, pengendalian makanan, persekitaran premis dalam keadaan bersih dan penjagaan aurat pekerja.
“Kita bercadang untuk membuat senarai premis makanan yang mendapat gred A untuk dihebahkan sebagai satu langkah promosi kepada penduduk,” katanya selepas menyertai operasi bersepadu MPKB-BRI dan Pejabat Kesihatan Daerah di premis makanan di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha MPKB-BRI, Hazmi Abdul Hamid dan Pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu, Mat Ghahit Mohamed. – HARAKAHDAILY 17/7/2018