PENYAKIT SOSIAL MASALAH UTAMA NEGARA
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
1. Penyakit sosial yang melanda masyarakat di negara ini terutamanya yang berlaku dalam kalangan remaja mesti diangkat sebagai keutamaan yang pertama untuk ditangani dan diselesaikan.
2. Tanpa menafikan keutamaan masalah ekonomi, sewajarnya perhatian yang diberikan terutamanya oleh barisan kepimpinan kerajaan terhadap penyakit ini adalah lebih baik daripada itu.
3. Penyakit ini jika diubati, dengan bersungguh-sungguh dan menyeluruh serta melibatkan semua pihak mengikut suluhan wahyu, pasti juga boleh menyelesaikan masalah-masalah lain dalam aspek politik dan ekonomi secara berkesan, kerana ia adalah pangkal sebelum cabang yang lain.
4. Jika angka seperti hutang berbanding KDNK, kadar inflasi, indeks harga pengguna dan kadar pengangguran menjadi petunjuk penting dalam masalah ekonomi yang sentiasa dikemaskini dan diulang siar di media cetak dan elektronik bagi menarik perhatian semua orang untuk memantau prestasinya justeru segera mengadakan langkah pengawalan, penyakit sosial dilihat tidak sedemikian.
5. Statistik berkenaan penyakit sosial seperti seks luar nikah, pelacuran, pembuangan bayi, seks songsang, lari dari rumah dan penyalahgunaan dadah sekalipun mendapat tempat di ruangan media, ia sekadar merupakan perhatian bermusim oleh pihak-pihak yang berkenaan sahaja ditambah lagi statistik yang ada dilihat hampir tidak dikemaskini kini kepada yang terkini dan tidak bersepadu.
6. Lebih malang lagi ada pihak yang memencilkan penyakit seperti ini sebagai isu peribadi seseorang sahaja dan menganggap ia hanya perihal hubungan seseorang itu dengan Tuhan, tiada kena mengena dengan orang awam.
7. Semestinya pemimpin kerajaan paling utama menjadikan para Nabi a.s. sebagai contoh dalam perkara ini. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. “إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق” (Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia) memperlihatkan bahawa masalah akhlak atau moral ini merupakan agenda terpenting kenabian dan kerasulan Baginda; bukannya sekadar menjadi masalah sekunder.
Tarikh : Rabu 11 Julai 2018 | 27 Syawal 1439H
___
PENULIS juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat dan AJK Kerja PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan. Pandangan dan aktiviti beliau boleh diikuti menerusi akaun FB (@drtakiri) dan Twitter (@drtakiri2016) rasmi beliau.