Home Berita PAS Pusat

Perang Palembang-Belanda: Bangkit Pertahan Islam Hingga Akhir (24 Ramadhan 1236)

813
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

PERANG PALEMBANG-BELANDA: BANGKIT PERTAHAN ISLAM HINGGA AKHIR (24 RAMADHAN 1236)

PENJAJAHAN barat ke atas Nusantara untuk mencapai tujuan Gareja Katholik Rom – 3G (gospel, glory and gold) – telah membawa kepada runtuhnya Melaka pada 1511M. Selepas kedatangan Portugis, pelayar Belanda telah datang ke Nusantara dengan menduduki Banten di Jawa Barat pada 1596M. Melalui Serekat Hindia Timur Belanda (VOC), Belanda mula menduduki Jakarta (yang dinamakan Batavia) pada 1619M, sebelum Maluku, Surabaya dan Melaka dikuasai oleh mereka menjelang 1650M. Gerakan VOC telah ditentang oleh Sultan Agung Mataram pada 1628-1629M dan Sultan Hassanuddin Makassar pada 1663-1667, yang mengakibatkan kerugian besar kepada VOC.

Proses penjajahan Belanda di Nusantara bermula apabila VOC bangkrap pada 1796M, dan seluruh harta VOC menjadi milik negara Belanda mulai 1800M. Secara kebetulan, kebangkitan Napoleon Bonaparte (1799-1814M) yang menyebabkan Belanda jatuh ke tangan Perancis (1795-1815M), telah menyebabkan wilayah Belanda di Nusantara dikuasai oleh Perancis (1806-1811M), sebelum diserah kepada Inggeris (1811-1816M). Dalam Konvensyen London 1814M dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824M, seluruh kawasan Nusantara (Indonesia sekarang) diserah kepada Belanda. Kedatangan Belanda di pulau-pulau Nusantara ini telah menimbulkan penentangan rakyat sejak awal abad ke-19.

Kebangkitan Rakyat: Islam Menentang Penjajahan di Nusantara

Kedatangan Belanda untuk menjajah dan menguasai ekonomi Nusantara telah mendapat tentangan hebat daripada penduduk dan kerajaan-kerajaan Nusantara. Abad ke-19M diwarnai sepenuhnya oleh perjuangan mempertahankan tanah air bagi menghadapi penjajahan. Ia adalah lanjutan daripada perjuangan Sultan Agung (1613-1646M) dan Sultan Hassanuddin (1631-1670M) yang menentang VOC pada abad ke-17. Yang terawal bangkit ialah menentang Belanda ialah orang Sulawesi Utara dan Maluku. Mereka mencetuskan Perang Tondano (1808-1809M) dan Perang Maluku (1817M) yang merupakan kebangkitan terawal yang meletus selepas runtuhnya VOC.

Usaha Belanda menguasai pulau-pulau rempah, pelabuhan-pelabuhan dan laluan perdagangan telah membawa kepada penjajahan ke atas Jawa dan Sumatera. Kerana itu, secara bersiri berlaku kebangkitan kerajaan dan umat Islam. Antara yang terpenting ialah Perang Diponegoro di Jawa (1825-1830M), Perang Paderi di Sumatera Barat (1821-1837M), Perang Banjar di Kalimatan Selatan (1859-1863M) dan Perang Aceh (1873-1904M). Belanda mengadakan beberapa perjanjian dengan Inggeris dan kerajaan-kerajaan Melayu untuk membolehkan mereka memperluaskan pengaruh. Penentang terhadap Belanda turut dilakukan oleh orang bukan Islam dalam Perang Bali (1846-1868M) dan Perang Batak (1870-1907M).

Perang Palembang: Kegigihan Ulamak-Umarak Mempertahankan Islam

Sebagaimana usaha Belanda menguasai Laut Jawa dan Selat Sunda, Belanda juga mahu menguasai Selat Melaka yang berada di tangan Kerajaan Aceh, Johor-Riau dan Palembang. Sultan Palembang Darussalam, Sultan Mahmud Badaruddin II (1803-1819M) yang dikenali sebagai penjihad yang kental dikatakan seorang ulamak dan hafiz al-Quran. Baginda begitu keras mempertahankan kedaulatan wilayahnya daripada jatuh ke tangan Inggeris dan Belanda, sehingga terpaksa menghadapi siri-siri perperangan selama 10 tahun sejak 1811M. Perang pertama dihadapinya pada 1811M untuk menghalang kemasukan semula Belanda ke Palembang bagi menguasai loji Sungai Aur yang diduduki oleh mereka sejak 1742M.

Kejayaan Palembang mengalahkan Belanda telah menggagalkan penjajah itu menguasai lombong timah Pulau Bangka, tetapi timbul pula konflik dengan Inggeris yang membawa kepada perang baru pada 1812M, di mana Sultan Mahmud Badaruddin II yang berundur ke Sungai Musi sebelum menyerang balas dan menghalau Inggeris dari Palembang. Disebabkan kekuatan Kerajaan Palembang, Inggeris gagal menyerahkannya kepada Belanda selepas Konvensyen London 1814M. Hanya pada 1816M, Inggeris baru dapat berbuat demikian, tetapi Sultan Palembang berjaya menghalau Belanda dalam Perang Menteng pada 1819M. Belanda yang tidak berpuas hati dengan kekalahan ini, menyerang lagi dua bulan kemudian, dan sekali lagi mereka ditewaskan.

Pada 16 Mei 1821M, sekali lagi Belanda memasuki Sungai Musi dan tercetus perperangan besar. Pada saat kekalahan Belanda, mereka minta berdamai kerana menghormati Ramadhan dan berjanji tidak akan berperang pada hari Jumaat dan Ahad untuk menghormati agama masing-masing. Tetapi Belanda telah berkhianat kerana membuat serangan mengejut pada pagi Ahad waktu sahur 24 Jun 1821M. Pertempuran sengit berlaku pada keesokannya dan pada 24 Ramadhan 1236H bersamaan 25 Jun 1821M, perjuangan rakyat Palembang telah berakhir dengan kekalahan dan Sultan Mahmud Badaruddin II dapat ditangkap oleh Belanda selepas 10 tahun berjihad. Baginda dibuang negeri ke Ternate, dan Palembang secara rasmi jatuh ke tangan Belanda mulai 1 Julai 1821. Sultan Mahmud Badaruddin II mangkat di Ternate pada 26 September 1852M.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
24 Ramadhan 1439 / 9 Jun 2018