Tadabbur Ramadhan
Siri 23/1439H
Surah Az-Zumar: Ayat 17-20: Watak Golongan Muttaqin dan Berita Gembira Buat Mereka
? Firman Allah serta terjemahannya:
وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ ١٧
Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku.
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَاب ١٨
Orang-orang yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.
أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ الْعَذَابِ أَفَأَنْتَ تُنْقِذُ مَنْ فِي النَّار ١٩
Apakah (kamu hendak merubah nasib) orang-orang yang telah pasti ketentuan azab atasnya? Apakah kamu akan menyelamatkan orang yang berada dalam api neraka?
لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ غُرَفٌ مِنْ فَوْقِهَا غُرَفٌ مَبْنِيَّةٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ وَعْدَ اللَّهِ ۖ لَا يُخْلِفُ اللَّهُ الْمِيعَادَ ٢٠
Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.
? Tafsir ringkas:
1. Ayat di atas memaparkan beberapa watak orang-orang yang bertaqwa serta janji dan berita gembira untuk mereka. Antara yang dinyatakan ialah:
i. Mereka menolak segala bentuk taghut yang membawa kesyirikan terhadap Allah, iaitu mereka meninggalkan sembahan-sembahan yang lain selain daripada Allah. Menurut pengamatan ulama, taghut ini adalah semua perkara yang berupa amalan atau kepercayaan yang boleh merosakkan tauhid dan syirik dalam aqidah.
ii. Mereka sentiasa kembali kepada Allah, memohon bimbinganNya dan merujuk petunjukNya dalam apa jua urusan dan permasalahan kehidupan.
iii. Mereka sentiasa mendengar kata-kata dan mengambil mana yang baik-baik serta memilih untuk beramal dengan perkara kebaikan.
3. Menurut Ibnu Abbas: Yang dikatanya “mendengar kata-kata” adalah si fulan mendengar perkara baik dan buruk, lalu dia menyampaikan kebaikan yang didengarinya. Manakala berhenti dari perkara kejahatan pula bermaksud tidak berkata-kata tentang perkara itu. Maka Allah memuji hamba tersebut. Allah sifatkan mereka dengan sifat yang tinggi terpuji serta mendapat redha daripada Allah.
4. Orang-orang yang dijanjikan azab oleh Allah, tiada siapa pun boleh menyelamatkan mereka dari azab tersebut. Nyata dalam ayat ini, Allah menggambarkan janji baik dan buruk atas perilaku kita sepanjang keberadaan di atas muka bumi ini. Jika baik amal kita maka berita gembira menanti, jika sebaliknya, azab neraka tempat untuk kita. Nauzubillah min zalik.
4. Di hujung watak-watak orang yang bertaqwa, Allah SWT menjanjikan mereka tempat di syurga yang berupa bilik-bilik di bawahnya air sungai yang mengalir. Mereka kekal di dalam syurga selama-lamanya. Itulah janji Allah buat orang-orang beriman. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
? Pengajaran:
1. Kita selaku orang yang beriman dengan Kitabullah (Al-quran) seharusnya mengambil berat tentang janji-janji, balasan-balasan samada balasan baik atau buruk yang disebut oleh Allah ini sebagai pembakar semangat untuk kita melaksanakan segala ketaatan kepada Allah dalam apa jua perkara tanpa ragu-ragu dan berbelah bagi.
2. Keseronokan yang Allah gambarkan di syurga itu kekal buat selama-lamanya, bukan kah itu sangat istimewa buat kita? Maka, apakah patut kita terus bermalas-malas, sambil lewa dalam melakukan ibadah kepada Allah bagi meraih keredhaan Allah.
3. Sentiasa memurnikan ketaatan kepada Allah, membersihkan jiwa dan mantapkan tauhid yang sedang bertunjang di dada. Antara tipsnya:
i. Tajdid (memperbaharui) iman dengan muhasabah sejauhmana kita telah melakukan tuntutan syahadah dalam kehidupan seharian.
ii. Larutkan diri dalam zikir-zikir yang memantapkan keimanan dan hubungan kita dengan Allah.
iii. Sentiasa membaca Al-Quran dan ilmu pengetahuan yang mendedahkan kita kepada cabaran-cabaran pemikiran yang menyelewengkan pegangan kita.
iv. Bergaul dengan orang-orang yang soleh serta mengutamakan orang yang beriman.
4. Sediakan hati, lapangkan dada untuk mendengar perkara kebaikan berupa ayat-ayat Allah, nasihat -nasihat, tazkirah -tazkirah dan apa jua wacana ilmu, lalu mengambil ibrah dan mengamalkannya. Kerana tiada sesiapa pun yang mampu menghalang diri kita dari azab neraka Allah melainkan diri kita sendiri. Bermula saat inilah kita mesti beramal dengan segala kebaikan yang akan menjadi nilaian Allah serta meraih syurga yang dijanjikan Allah buat orang-orang yang bertaqwa.
5. Impian abadi kita adalah syurga. Jemputlah keindahan syurga ke dalam rumah kita dengan mendekat keluarga kita dengan sifat-sifat ahli syurga. Jangan biarkan rumah kita seperti kuburan, gelap dan sepi dari lantunan cahaya al-Quran. Hidupkan adab-adab Islam, budaya ilmu dan saling menasihati sesama ahli rumah.
6. Kenalpasti kewujudan taghut yang Allah perintahkan untuk kita jauhi. Di zaman penuh fitnah ini, pemikiran dan pegangan taghut melingkari kehidupan kita secara licik tanpa disedari. Perlahan-perlahan ia menyusup dalam kehidupan generasi hari ini. Ia boleh menjelma dalam bentuk syaitan atau iblis, berhala, ideologi, sistem, undang-undang, kerajaan, ilmu dan lain-lain perkara yang membawa manusia kepada durhaka kepada Allah dan engkar kepada utusanNya. Mohonlah perlindungan Allah daripada terpedaya dan terikut dengan perkara-perkara taghut ini.
?Rujukan:
Tafsir Al-Munir
Sofwah At-Tafasir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
23 Ramadhan 1439 / 8 Jun 2018