Telah lama kita di candukan dengan perlambangan bahawa hanya kerajaan BN yang mampu memberi rezeki kepada rakyat. Canduan ini melekat di benak rakyat sehingga kita hampir terlupa tentang satu frasa yang sangat penting pernah diungkapkan oleh Abraham Lincoln “Jangan persoal sumbangan yang negara berikan kepada kamu, tapi apa sumbangan kamu untuk negara”.
Hari ini kerajaan baru di Putrajaya cuba menukar stigma yang berakar di benak rakyat semua. Tabung Harapan Negara. Pada pandangan saya, ia adalah sesuatu yang sangat baik kalaupun tidak baharu. Ia cuba memecahkan tembok besi yang lama merantai pemikiran rakyat Malaysia.
Sebagaimana kerajaan BN tidak akan kalah di Putrajaya, ia telah berakhir. Begitulah juga dengan Tabung Harapan Negara. Ia seakan mahu rakyat merasakan bahawa bersamalah kita bergandingan di saat kerajaan yang dipilih sedang mengalami kesusahan.
Bak kata pepatah “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Pas sendiri telah lama menubuhkan tabung untuk kelansungan politik kami. Malah kami sering dipersendakan sebagai parti tin milo, parti jabir rokrak dan sebagainya.
Setiap kali semasa ceramah, tin-tin milo dan *jabir rokrak kami akan bergerak ke pelusuk hadirin. Ia masih berjalan sehingga kini walaupun Pas sudah memegang tampuk pemerintahan di Kelantan berpenggal- penggal.
Diperingkat Kerajaan Negeri Kelantan, Tabung Serambi Mekah sudah lama bergerak dan juga tabung-tabung lain yang telah diwujudkan.
Bezanya Tabung Serambi Mekah bukan untuk membayar hutang negeri, tetapi untuk kerja-kerja kebajikan dan bantuan-bantuan khas kepada rakyat kerana ianya lebih cepat dan berkesan seperti bantuan bencana, kebakaran dan lain-lain.
Pemotongan elaun Menteri Besar dan Adun-Adun Pas untuk Tabung Serambi Mekah juga bermula sebaik tabung tersebut ditubuhkan hampir 30 tahun lepas.
Bukan mahu mendabik dada, tapi ternyata kami telah lama mendahului zamannya.
Ia bukan bertujuan mahu mengambil untung, namun ia adalah manifestasi tentang sebuah perjuangan yang memerlukan pengorbanan setiap pendokongnya.
Akhirnya, saya sangat berharap tabung ini akan berjaya dan semestinya pemimpin-pemimpin wajib terlibat sama memberi sumbangan. Saya juga berharap tabung ini nanti tidak akan dipecah amanahkan.
Saya sayang negara saya sebagaimana kita semua sayang negara ini.
*jabir rokrak- bag plastik
Abdul Latiff Abdul Rahman
Ahli Parlimen Kuala Krai
15 Ramadhan 1439 / 31 Mei 2018