Home Berita PAS Kelantan

Umno sogok pengundi di Tanah Merah

1300
SHARE

KOTA BHARU: Golongan muda yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas didakwa menerima bayaran sehingga RM400 daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) Tanah Merah.

Bayaran itu didakwa dibuat dua kali iaitu kali pertama RM100 dan kedua sebanyak RM300 dengan syarat pengundi terbabit menunjukkan gambar menggunakan telefon sebagai bukti.

Calon PAS Dun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa berkata, kemenangan yang dicapai Umno dan BN di Tanah Merah dianggap tidak profesional kerana penuh dengan rasuah, sogokan serta baiah untuk mengundi BN. (Foto atas: Wan Yusoff menunjukkan jam tangan dan power bank mempunyai nama calon BN Parlimen Tanah Merah.)

Katanya, gejala sogokan dan rasuah begitu ketara berlaku pada PRU lalu di kerusi Parlimen Tanah Merah dan Dun Gual Ipoh.

“Bahkan jentera Barisan Nasional dan Umno agresif melakukan perbuatan itu pada hari pengundian bagi memenangkan Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sebagai calon kerusi Parlimen Tanah Merah dan Mohd Bakri Mustapha di Dun Gual Ipoh,” katanya di sini.

Semalam beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan berkenaan yang didalangi pemimpin Umno Tanah Merah. – HARAKAHDAILY 24/5/2018