Irsyaadul Mujaahid. Siri 06
05 Ramadhan 1439 / 21 Mei 2018
TIADA ISTILAH KALAH
Oleh : Nasrudin bin Hassan
https://m.facebook.com/irsyaadulmujaahid
1. Pilihanraya umum ke 14 telah berlalu dangan 1001 rasa yang berbaur. Pemenang tentu sahaja rasa gembira dan meraikannya sepuas hati. Sementara yang tewas bermuram durja seraya memujuk dan menenang rasa.
2. Tentu sahaja para pejuang Islam mempunyai rasa yang tersendiri. Mari kita teliti rekod dari file orang terdahulu.
Dari Abdul Rahman bin Abi Laila dari Suhaib telah berkata, Nabi saw bersabda:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Hebat urusan orang beriman. Sungguh semua perkara yang berlaku padanya adalah baik dan tidaklah sedemikian melainkan hanya bagi orang yang beriman. Jika ia menerima sesuatu yang mengembirakan, ia bersyukur maka kebaikanlah baginya. Jika menimpa sesuatu musibah ke atasnya, ia bersabar maka kebaikanlah baginya.
Riwayat Imam Muslim.
3. Syukur bila gembira dan sabar bila berduka adalah asas ketenangan jiwa para pejuang. Sifat tenang itu tidak mendorong kita melampau dalam meraikan kemenangan dan kecewa menerima kekalahan.
4. Ketenangan para pejuang menghasilkan beberapa situasi dan tindakan positif.
a) Menang pilihanraya, maka tunaikan tanggungjawab dan mandat rakyat.
Firman Allah swt :
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Orang yang kami berikan mereka peluang berkuasa memerintah di bumi, selayaknya mereka dirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menegakkan syariat (al makruf) serta mencegah kemungkaran dan milik Allah akibat segala urusan.
Surah Al Hajj : 41
Ayat ini menetap 4 agenda penguasa (pihak yang ada kuasa) :
i ~ solat : tunduk dan patuh kepada Allah
ii ~ zakat : kesimbangan ekonomi ummah
iii ~ amar makruf : laksanakan syariat
iv ~ nahi mungkar : benteras salah laku
b) Kalah pilihanraya, jangan berhenti berjuang apatah lari meninggalkan perjuangan.
Firman Allah swt.
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
dan ramai dari nabi terdahulu telah berperang dengan disertai oleh ramai para pejuang yang taat, maka mereka tidak merasa hina (kerdil) terhadap kekalahan yang mereka alami semasa perang Fi Sabilillah dan mereka juga tidak rasa lemah dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar.
Surah Aali Imran : 146
Ayat ini menegaskan sifat pejuang Fi Sabilillah :
i ~ berjuang bersama nabi mereka
ii ~ tidak rasa kerdil, lemah dan tunduk pada musuh ketika keputusan peperangan tidak berpihak kepada mereka.
iii ~ sabar justeru Allah swt kasih orang yang sabar.
5. Kalah menang adalah ujian dari Allah swt. Ia juga merupakan keputusan yang hanya Allah swt memuktamadkannya. Tanggungjawab kita ialah bekerja dan berjuang untuk menegakkan agama Allah swt.
6. Menang kalah bukan urusan kita. Sebaliknya tanggungjawab kita ialah mengisi kemenangan dengan memenuhi tuntutan dan panduan agama serta mengurus kekalahan dengan sabar dan Istiqamah meneruskan perjuangan.
7. Sebetulnya, tiada istilah kalah dalam kamus para pejuang Islam. Apa yang ada, hanya antara dua kebaikan, samada menang (mendaulatkan syariat Allah swt) atau gugur terkorban (syahid) dalam memperjuang dan mempertahankan Islam.
إما النصر و إما الشهادة
Firman Allah swt :
قُلْ هَلْ تَرَبَّصُونَ بِنَا إِلَّا إِحْدَى الْحُسْنَيَيْنِ وَنَحْنُ نَتَرَبَّصُ بِكُمْ أَن يُصِيبَكُمُ اللَّهُ بِعَذَابٍ مِّنْ عِندِهِ أَوْ بِأَيْدِينَا فَتَرَبَّصُوا إِنَّا مَعَكُم مُّتَرَبِّصُونَ
Katakanlah Wahai Muhammad (saw) kepada mereka :, ‘Tidak ada yang kalian tunggu-tunggu bagi kami, kecuali salah satu dari dua kebaikan (menang atau syahid). Sedang kami pula menunggu-nunggu bagi kalian bahwa Allah akan menimpakan kepada kalian azab (yang besar) dari sisi-Nya, atau (azab) dengan tangan kami. Sebab itu tunggulah, sesungguhnya kami menunggu-nunggu bersama kalian.
Surah At Taubah : Ayat 52
Mencetak Pejuang Sufi & Haraki
Sekian