RASULULLAH S.A.W bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“(Maksudnya) Sesiapa yang mendirikan qiam Ramadhan (Terawih dan solat sunat yang lain) kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Bukhari dan Muslim)
Kedatangan Ramadan pada setiap tahun adalah sebagai rahmat dan peluang bagi umat Islam untuk meraih pelbagai tawaran hebat daripada Allah S.W.T. Ramadan bukan setakat bulan untuk berpuasa, namun lebih daripada itu ia adalah suatu Madrasah Tarbiyah bagi melahirkan para graduan yang bertakwa dan selamat daripada kemurkaan serta azab Allah.
Oleh itu, hubungan dengan Allah hendaklah dijaga dengan sebaiknya melalui ibadat-ibadat yang telah disyariatkan seumpama melalui solat tarawih. Nabi S.A.W bersabda:
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَالْعَطَشُ
“(Yang bermaksud) Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga sahaja.”
(Riwayat Ibnu Majah dan Nasaie)
Begitu juga hubungan sesama manusia seharusnya diberi perhatian agar tidak ada persengketaan dan perbuatan khianat yang berlaku antara satu sama lain. Hubungan yang sejahtera dengan Allah dan sesama manusia ini merupakan suatu KPI untuk menilai kadar ganjaran puasa kita.
Sempena kedatangan Ramadan 1439H ini, seluruh umat Islam hendaklah menumpukan kepada peningkatan amal ibadat masing-masing dan berganding-bahu dalam agenda membangunkan masyarakat sejahtera serta bertakwa.
Dirikan Negara Islam dalam kehidupan masing-masing, insyaAllah ianya akan tertegak secara gah di atas muka bumi Malaysia ini. Saya sentiasa berdoa semoga Allah memberkati kerajaan Negeri Kelantan dalam mendasari Merakyat Membangun Bersama Islam dan semoga negara kita dapat dibangunkan dengan panduan Syariah. Ramadan Karim!
USTAZ DATO’ BENTARA KANAN
Menteri Besar Kelantan