Kenyataan Media Setiausaha Akhbar Presiden PAS
TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB MENGUNDI WALAU PELBAGAI HALANGAN
Mengundi adalah tanggungjawab besar sebagai rakyat Malaysia untuk memilih kepimpinan negara bagi tempoh 5 tahun yang akan menentukan halatuju negara. Pastinya setiap rakyat akan terkesan dengan polisi dan dasar yang ditentukan oleh kerajaan terpilih dalam pilihan raya, sekaligus menafikan sikap tidak bertanggungjawab bagi mereka yang menyatakan politik tiada dalam agama atau kalangan yang berkempen undi rosak.
Perkara ini telah ditegaskan dalam ucapan Presiden PAS semasa Majlis Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Padang Awam Cenderawasih, Kuantan pada 10 April 2018,
“Kita mintak rakyat tunaikan tanggungjawab mengundi. Kalaulah sekiranya Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah, para sahabat tinggal urusan jenazah nabi, nak tanam kerana memilih pemimpin. Mengundi adalah memilih pemimpin. Tanggungjawab, yang penting tanggungjawab.”
Manakala keputusan SPR menetapkan hari mengundi pada hari Rabu adalah urusan SPR walaupun sepatutnya mereka memudahkan pengundi untuk balik mengundi. Presiden PAS menjelaskan selanjutnya:
“Dia nak adakan pilihan raya hari apa, bulan berapa pukul berapa, kita tetap mengundi. Yang menentukan hari ni SPR, menentukan pukul berapa SPR bukan kerja kita. Kalau dia kata kena mengundi pukul tiga pagi pun mengundi tiga pagi peduli apa. Boleh jadi dia buat pukul tiga pagi mengundi. Orang tidur banyak tak pergi mengundi. Boleh jadi, kita pi mengundi juga. Dia buat mengundi hari Jumaat. Bukan sembahyang Jumaat sepanjang masa. Boleh pergi mengundi. Orang Turki yang bekerja di Australia masa pilihan raya Erdogan menang pilihan raya. Orang Turki bekerja di Australia balik mengundi di Turki. Dua kali ganda Mekah lagi jauh. Berapa tambang dia? Kita berapa kilometer dah pergi ambik dengan kereta tak pergi mengundi, anggap tanggungjawab tak penting. Ada orang Cina yang kerja balak dalam hutan di Sarawak balik mengundi di Perak. Ada orang Cina begitu. Kalau ada orang melayu menganggap undi tak penting serupa saja ini satu kesilapan besar. Kena mengundi”
Dalam sidang media selepas itu ketika menjawab soalan wartawan, Presiden PAS menjawab: “Itu terpulang pada SPR untuk nak mengadakan bila-bila masa pilihan raya. Yang penting adalah kesedaran mengundi rakyat. Itu sangat penting yang perlu kita gerakkan. Jangan kita kongkong SPR nak perintah dia buat itu dan ini, itu hal dialah. Tak mau campur, itu urusan SPR”
Kesimpulannya, parti-parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat perlu menyedarkan rakyat supaya balik mengundi bagi menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin walaupun menghadapi pelbagai cabaran, ujian dan halangan.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL MALIK BIN AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS
Bertarikh: 26 Rejab 1439 / 12 April 2018