Wahai Rasulullah, Islam apakah yang paling utama? Beliau bersabda: “Iaitu orang yang muslim lainnya aman dari lisan dan tangannya.”
[ HR. Bukhari No. 11, Muslim No. 42, dari Abu Musa Al Asy’ari r.a ]
1. Muslimat PAS merakam rasa simpati terhadap pembantu rumah Indonesia, Suyanti Sutrinso, 19 yang telah didera oleh majikannya hingga menyebabkan kecederaan parah.
2. Muslimat PAS melahirkan rasa kecewa atas perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh majikan Suyanti.
3. Oleh yang demikian, kami dengan penuh iltizam mengajak dan menyeru semua pihak terutama majikan yang menggaji pembantu rumah agar tidak melakukan penderaan fizikal dan emosi kepada pembantu rumah yang kebanyakan dari mereka adalah dari negara jiran. Mereka datang ke Malaysia untuk mencari rezeki yang halal buat keluarga tersayang.
4. Selain memastikan majikan berkelakuan baik terhadap pekerja mereka, pembantu rumah juga seharusnya merasa bertanggungjawab dalam melakukan segala tugasan yang diberi bagi mengelakkan pelbagai kesan negatif yang mungkin berlaku.
5. Marilah kita mengambil ibrah dari amalan perhambaan yang telah berlaku sejak zaman dahulu kala. Kita dapat melihat melalui sirah Nabi Musa a.s bagaimana Firaun menyeksa kaum Bani Israel yang diperhambakan tanpa sedikitpun rasa belas kasihan. Kisah penyeksaan dan penderaan fizikal ini diteruskan sehinggalah Islam datang membawa kesejahteraan dan kebebasan kepada hamba abdi melalui ajaran Rasulullah s.a.w.
6. Walaupun pembantu rumah kini bukanlah hamba seperti zaman silam, namun masih terdapat segelintir majikan yang tergamak memperlakukan pembantu rumah mereka seperti hamba abdi yang dizalimi. Sikap ini dilarang oleh Islam.
7. Memetik sebahagian firman Allah S.W.T dalam Surah Az-Zukhruf ayat 32 yang bermaksud,
“…Kami telah menentukan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya-raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain…”
Ayat ini menyedarkan kita bahawa Allah S.W.T sememangnya telah menciptakan dalam kalangan kita ada yang senang dan diberi kekayaan, namun ada pula yang diuji dengan kesusahan dan kemiskinan, namun hakikatnya keduanya saling memerlukan. Sewajarnya golongan kaya menyantuni yang susah, bukan melayani mereka dengan adab yang buruk.
8. Justeru Muslimat PAS mengajak semua pihak untuk melayan dan menyantuni golongan yang lemah dengan penuh sopan dan tertib serta sifat-sifat kemanusiaan tanpa mengira latar belakang pendidikan, agama, bangsa, dan negara. Pastinya masyarakat negara ini akan hidup sejahtera dengan menjunjung sifat-sifat kemanusiaan yang selaras dengan ajaran Islam.
ROSNI ADAM
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
28 Mac 2018 bersamaan 10 Rejab 1439