Home Berita PAS Kedah

Wariskan Bumi yang Sihat kepada Generasi Akan Datang

1790
SHARE

Alhamdulillah, hari ini Allah berikan kelapangan untuk meninjau sendiri aktiviti pembalakan oleh Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) di Bukit Enggang, Sik Kedah. Saya bersama Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, Rizuan Mat Zain, Zulkefly Hassan, Saudara Fauzi dan beberapa penduduk tempatan telah mengambil masa 4 jam untuk memasuki kawasan pembalakan yang tidak beroperasi hari ini dengan 3 buah kenderaan. turut bersama rombongan kami ialah wartawan Sinar Harian, Sdr Ammar.

Jalan balak sepanjang 6km itu memang mencabar, tetapi yang disaksikan di seluruh kawasan itu lebih mengejutkan. Keluasan keseluruhan kawasan yang telah digondolkan di kompartmen 12 adalah 500 hektar dan 500 hektar lagi di kompartment 13, 14 dan 15. Jumlahnya adalah 1,000 hektar, setakat yang sempat ditinjau.

Pemeriksaan saya dengan Jabatan Perhutanan dua hari lalu mengesahkan ia diluluskan selepas PRU-13, oleh Kerajaan Negeri dipimpin Barisan Nasional (BN). Alasan ladang hutan ganti hanya semata-mata alasan kerana, setakat yang diketahui, di Gunung Inas yang diluluskan pada 2007 untuk tujuan sama, untuk ditanam Timber Latex Clone (TLC) masih terdapat tanah yang luas tidak dibangunkan.

Pada penggal 2008-2013, MBI dan Kedah Agro hanya sempat menanam 400 ekar sebagai ladang rakyat dengan 400 orang peserta. Selepas pilihanraya umum ke 13, skim Ladang Rakyat dibatalkan. Lebih 4000 ekar masih tidak ditanam oleh MBI. Kenapa tidak bangunkan saja kawasan itu? Kerana sudah tiada kayu balak?

Di Bukit Enggang ini, hanya tinggal sedikit sahaja lagi pokok balak yang tidak ditebang, berhampiran rumah kongsi pekerja pembalakan. Esok atau lusa hilanglah semuanya.

Aliran air bukit sangat perlahan, keruh pekat dan banyak saliran dan alur telah tertimbus sepenuhnya. Terdapat banyak longgokan kayu balak di cerun dan lereng yang sudah ditebang, menanti untuk dibawa keluar ke kilang. Nilainya munkin mencecah ratusan ribu ringgit. Kayu balak di matau juga telah berkurang, sepahan sisa kulit kayu menunjukkan telah banyak yang dibawa keluar.
Kami dapat lihat spesis Albizia (kali pertama mendengar dan melihatnya) di tanam di lereng bukit yang diteres, yang didakwa sebagai tanaman hutan ganti. Ia menjadi lesen besar kelulusan pembalakan seluas Bukit Enggang. Ia pokok berkayu lembut dari spesis petai belalang. ia juga dipanggil pokok Sengon.
Mampukah hutan ganti dari spesis kayu lembut itu menggantikan fungsi dan nilai hutan asli sebagai kawasan tadahan, serapan dan simpanan air, pembekal oksigen, menyerap karbon, habitat haiwan, biodiversiti dan pembiakan flora dan fauna? Sudah tentu tidak!
Beberapa tahun lagi, kawasan itu akan ditebang lagi, berulang-ulang untuk beberapa generasi, selama ia adalah hutan ganti untuk dituai kayunya, hutan asli hilang selama-lamanyanya.

Sumber air masyarakat musnah dan tercemar. Penduduk terpaksa mencari alternatif di bukit lain untuk mendapatkan air untuk minuman dan mencuci. Surau dan rumah dilimpahi air selut. Bekalan air di Surau An-Nur kampung Paya Terendam keruh pekat dengan kelodak tanah. Kebun getah penduduk di kaki bukit enggang juga dilitupi selut dan lumpur.
Pembalakan ini tidak wajar diluluskan. Lebih banyak kerugian berbanding keuntungan daripada semua sudut. Kerajaan hanya menerima RM1000 setiap hektar, tetapi kayu balak yang dibawa keluar pasti nilainya jutaan ringgit. Ia menguntungkan pembalak, mendatangkan wang segera kepada pihak terbabit, tetapi menjejaskan banyak pihak, termasuk penduduk dan kelestarian alam sekitar.
Masih terdapat kawasan hutan berhampiran, tetapi kami dimaklumkan oleh penduduk tempatan ia sudahpun diluluskan kepada Yayasan Islam Negeri Kedah, telah dilawati tauke-tauke balak, hanya menunggu masa untuk digondolkan.
Hentikanlah setakat itu sahaja. Hentikanlah kegilaan ini, Batalkan kelulusan, usahakan sumber lain di tempat lain. Tanamlah semula spesis hutan asli. Berhentilah sebelum malapetaka lebih besar melanda kita. Selamatkan Bukit Enggang!