29 Oktober, Ahad – Hari ini, konsep ” We Care, We Share” telah menjadi teras Program Jualan Amal oleh Muslimat PAS Batang Lupar. Program Jualan Amal ini juga atau lebih dikenali sebagai ‘Lelongan’ oleh warga setempat telah diadakan di Kampung Semarang, DUN Beting Maro.
Seawal jam 9.00 pagi lagi, sukarelawan muslimat PAS Batang Lupar telah bersedia dengan barang-barang jualan seperti pakaian lelaki, wanita dan juga kanak-kanak termasuk juga kasut. Pakaian-pakaian ini merupakan hasil sumbangan ahli-ahli PAS dari seluruh ceruk bumi Sarawak Darul Hana ini yang sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama golongan yang agak kurang berkemampuan. Pakaian ‘preloved’ itu kebanyakan masih dalam kondisi baharu dan masih baik.
Harga ‘RM 1’ itu memberi daya tarikan yang sangat kuat dan sudah cukup untuk menarik penduduk setempat supaya datang berbondong-bondong ke tapak jualan amal itu. Ada yang datang berjalan kaki. Ada yang datang sambil mendukung bayi. Ada yang datang sambil memimpin tangan anak-anak kecil mereka. Pendek kata, dalam sekelip mata, hampir semua pakaian terpakai itu habis terjual. Senyuman kebahagiaan terlukis jelas di wajah pelanggan-pelanggan kami. Semoga dengan jualan amal ini dapat menggembirakan mereka dengan memberikan mereka pakaian baharu.
Benarlah kata orang, tak perlu berbelanja banyak untuk menggembirakan hati orang lain. Apa sahaja yang diberikan dengan ikhlas dari hati, akan diterima dengan gembira oleh orang lain dan akan sampai ke hati mereka. ‘Carilah keredhaan Aku dengan berbuat baik kepada orang yang lemah di kalangan kamu kerana sesungguhnya kamu diberi rezeki dan pertolongan disebabkan orang-orang yang lemah di kalangan kamu.”, hadis riwayat Abu Daud. Semoga pahala penyumbang pakaian tersebut berterusan mengalir selagi mana pakaian tersebut masih digunakan.