Home Berita PAS Sarawak

Amali Pengurusan Jenazah Muslimat di Batang Lupar

1543
SHARE

29 Oktober, Ahad – Dari Abu Hurairah RA bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda; Hak seorang ke atas muslim yang lain ada lima perkara iaitu menjawab salam, menziarahi ketika sakit, mengiringi jenazah, menunaikan jemputan dan mendoakannya ketika bersin. Atas kesedaran keperluan perkara yang keempat itulah PAS Batang Lupar menggalas tanggungjawab untuk mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah Muslimat khusus bagi kaum Hawa di Kampung Hilir Beladin, DUN Beting Maro.

Kursus Pengurusan Jenazah yang diadakan di surau Kampung Hilir Beladin ini dihadiri kira-kira 30 orang penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Penceramah jemputan bagi kursus ini ialah Ustazah Mariah yang didatangkan khas dari Sarikei. Beliau telah berkongsi tertib atau urutan pengurusan jenazah secara teori dan amali.

Seramai kira-kira lima orang muslimat PAS Batang Lupar telah bersama-sama membantu dalam menjayakan kursus pengurusan jenazah ini. Penduduk kampung pula rata-ratanya teruja dan bersyukur kerana dapat menimba ilmu baharu dalam kursus ini. Kursus ini diakhiri dengan penyampaian sejumlah sumbangan kewangan kepada seorang warga emas yang juga merupakan golongan kelainan upaya (OKU). Bak kata peribahasa, “hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah”. Walau pun sumbangan itu tidaklah sebanyak mana, namun diharapkan agar sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban saudara seIslam kita ini.

Akhir sekali, “learning is an ongoing process”. Tidak pernah ada batas dan had dalam menuntut ilmu. Selagi mana ada kemahuan, di situlah terbentang jalan yang luas dalam mencari ilmu. Semoga segala ilmu yang dipelajari dalam kursus ini dapat diamalkan secara bermanfaat dan dapat menyempurnakan sebahagian daripada fardhu kifayah di kampung ini. Semoga Allah redha dan merahmati setiap titik peluh dan usaha kita semua. Amin.