Home Berita PAS Kelantan

98 peratus panel solar Danau To’ Uban siap dipasang

226
SHARE

PASIR MAS, 10 Oktober: Exco Teknologi Hijau Negeri Kelantan YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan 98 peratus pemasangan pulau solar di Danau To’ Uban telah selesai.
Menurutnya, pemasangan kabel penyambung dari Kampung Chandan ke Bukit Kecil sejauh 10 kilometer (km) juga sudah siap 100 peratus.

Beliau menzahirkan kesyukuran dan berpuas hati kerana sehingga 1 Oktober 2022, peratusan kemajuan keseluruhan projek Ladang Solar Danau To’ Uban sudah 90 peratus siap.
“Bangunan Operasi dan Penyelenggaraan juga telah siap 90 peratus. Manakala, kerja-kerja fabrikasi sedang dijalankan ke atas fasiliti Loop In Loop Out (LILO),” jelasnya.

Mengulas lanjut, YB Tuan Mohd Saripudin menerangkan terdapat empat komponen utama dalam projek tersebut melibatkan pemasangan pulau solar di atas permukaan tasik berkeluasan 164 ekar bersamaan 11 peratus daripada keseluruhan permukaan tasik.

Termasuk Bangunan Operasi dan Penyelenggaraan di atas tapak berkeluasan 2.69 ekar dan fasiliti penyambungan 132kV Overhead Lines LILO serta pemasangan kabel penyambung dari Kampung Chandan ke Bukit Kecil sejauh 10km.

Untuk rekod, Projek Solar Terapung berkapasiti 98MWdc atau 60MWac tersebut mula dibangunkan oleh Cypark Resources Berhad dengan kerjasama Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada tahun 2021.

Projek bernilai RM500 juta itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan visi Pembangunan Mampan Negeri Kelantan.