Home Berita PAS Johor

9 September hari mengundi PRK Pulai & Simpang Jeram

74
SHARE

Oleh NAZIRUL MUNIR

KLUANG , 3 Ogos : 9 September 2023 ditetapkan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai dan N.13 Simpang Jeram.

“Tarikh keluar writ adalah hari ini, 3 Ogos 2023, Hari penamaan calon pada 26 Ogos 2023, hari mengundi awal”.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abd Ghani Salleh pada sidang media sejurus selepas mesyuarat khas SPR yang dipengerusikan sendiri oleh beliau.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan mengalami kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai yang lalu.

Tambah Abd Ghani lagi, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah daftar pemilih kemaskini sehingga 23 Julai 2023.

“Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 orang pemilih manakala Dewan Negeri Simpang Jeram mengandungi seramai 40,379 pengundi biasa dan 6 orang pengundi tidak hadir luar negara.

“Seramai 2,692 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai manakala 678 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Dewan Negeri Simpang Jeram”, ulasnya.