Home Berita PAS Kelantan

8 siri Pentas Rakyat melabuhkan tirai dengan bergaya

254
SHARE

KOTA BHARU, 19 Oktober: Program hiburan patuh syariah Pentas Rakyat (PR) anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) berjaya melabuhkan tirai dengan bergaya apabila setiap siri di lapan lokasi mendapat sambutan hangat daripada pelbagai golongan masyarakat.

Ribuan penonton membanjiri lokasi Pentas Rakyat untuk menyaksikan lapan siri PR bermula di Kompleks Sukan Dabong pada 9 September dan berakhir di Padang Sekolah Menengah Ugama (Arab) Bustanus Saadah, Morak, Tumpat pada 15 Oktober.

Pemangku Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamad berkata Pentas Rakyat ialah platform didik hibur yang diperkenalkan oleh UPKN selaku agensi media rasmi Kerajaan Negeri untuk memberi peluang dan ruang kepada pemimpin mendekati rakyat, seniman anak Kelantan dan artis undangan mengenali Kelantan lebih akrab serta wadah rakyat berhibur secara terkawal dalam suasana patuh syariah.

“UPKN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan lapan siri Pentas Rakyat khasnya buat YAB Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan yang sudi hadir dua kali menyerikan Pentas Rakyat siri kedua dan kelapan.

Termasuklah saf kepimpinan, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, petugas di Pusat Khidmat DUN, warga UPKN, artis undangan dan seluruh rakyat Kelantan atas komitmen yang tinggi dan kebersamaan sehingga ke penghujung program,” katanya.

Pentas Rakyat menampilkan selebriti tersohor Kelantan seperti Joe Renjuna, Pok Yie Gasi, Fadhil Turbo, Ezri Layang Puteh dan kumpulan dikir barat Sirat Maharaja dan kumpulan teater Artis undangan pula ialah seniman Sabri Yunus, Iwan Syahman, Azmani Iklim, Shaq Mentor, Kamarol Haji Yusoff (Cik Man) dan Hazwan.