Home Berita PAS Kelantan

7 Skim Bantuan Rakyat melalui JKM

82
SHARE

KOTA BHARU, 30 Mac: Bagi tahun 2022, pemberian bantuan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dijangka mencapai peruntukan RM 220 juta bagi bantuan bulanan yang diberikan kepada rakyat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Kelantan.

Demikian jawapan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Mumtaz Md Nawi ketika menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, YB Sauiful Adli Abu Bakar dalam Sidang DUN Kali Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2022 hari ini, berkenaan jenis dan jumlah setiap skim bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Terdapat tujuh skim bagi bantuan bulanan yang diterima oleh rakyat, pertamanya Bantuan Kanak-kanak yang mana kadar minimum ialah RM150 dan maksimum RM1000 bergantung pada bilangan anak yang masih bersekolah,” katanya.

Seterusnya, beliau memaklumkan enam lagi bantuan yang diberikan ialah Bantuan Warga Emas RM500, Bantuan Elaun Pekerja Kurang Upaya RM450, Bantuan Sakit Kronik Teerlantar RM500, Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) Tidak Bekerja RM300, Bantuan Anak Pelihara RM250 sehingga RM 500 dan Bantuan Am/Bantuan Musa’adah RM250.